"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pegawai atasan polis mungkin terbabit lindungi sindiket

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan ada pegawai atasan lain yang terbabit melindungi sindiket susulan penahanan pegawai kanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM tidak menolak kemungkinan ada pembabitan pegawai lebih atasan dipercayai terbabit dengan sindiket itu, bagaimanapun ia masih dalam siasatan kerana pegawai kanan ditahan itu dipercayai tidak melakukannya bersendirian.

Menurutnya, pegawai terbabit disambung reman tiga hari lagi dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan wang diterimanya sebelum ini.

"Kita akan siasat berapa lagi wang yang diterimanya daripada sindiket terbabit dan akan mengesan siapa lagi yang turut terlibat.

"Kita juga sedang mengesan aset dan maklumat lain aset yang diperoleh atau sudah dibelanjakan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan pegawai kanan polis di IPK Kuala Lumpur ditahan SPRM kerana melindungi aktiviti haram membabitkan perjudian, maksiat dan kumpulan gangsterisme di sekitar Kuala Lumpur,

Menurut sumber, suspek utama iaitu lelaki berusia 40-an disyaki menerima suapan antara tahun 2021 hingga 2024 daripada sindiket dalam bentuk tunai sebagai balasan melindungi aktiviti haram membabitkan perjudian, maksiat dan kumpulan gangsterisme di sekitar Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: