"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Individu dedah apa MB Kedah buat pada Kedah Agro, Sanusi balas “see you in court”

SITI NUR ZAWANI

Seorang individu menyelar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas membuat satu tuduhan tidak berasas terhadap pekerja Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) yang membangkitkan isu pembayaran gaji tertunggak.

Individu yang menggunakan akaun Facebook Zuraini Ab Ghani mendedahkan apa yang berlaku terhadap anak syarikat Perbadanan Menteri Besar (MBI), mendakwa MBI mengambil pendapatan KAHB dan mencuri kakitangan syarikat itu.

Selain itu, dia mendakwa pengurusan tertinggi KAHB yang dilantik dalam lingkungan kenalan Sanusi hanya tahu membazirkan duit rakyat, tetapi pekerja pula dipersalahkan.

“Terlalu keterlaluan, waktu Kedah Agro Industries, hangpa nak buat Kedah Agro Group of Companies. Overhead tak sampai RM20,000 sebulan (tapi) disebabkan hangpa, had sampai RM100,000 sebulan.

“Kedah Agro ada income, tapi MBI ambil. Kedah Agro ada pekerja, MBI curi staff, hangpa lantik CEO daripada kalangan hangpa yang asyik bazirkan duit rakyat. Akhirnya, staff pula yang salah?

“Mana tanggungjawab pengurusan? Takkan hang bodoh sangat. Kakitangan 24 orang tu ada kuasa buat keputusan ka?

“Kes tak dapat gaji ni bukan baru bulan ni ya, dah lama. Tapi kenapa dari dulu tak tutup? Sebab masih ada ruang untuk berbahagi habuan kan? Macam hang berbahagi balak dulu?,” luahnya.

Tidak dapat dipastikan sama ada individu itu merupakan pekerja di KAHB atau pun tidak, namun dia mengatakan bahawa Sanusi telah menjatuhkan maruah kakitangan Kedah Agro untuk tatapan satu dunia.

Individu itu menambah, jika tiada kakitangan KAHB yang buat laporan, pasti wakil rakyat Pas itu tidak akan menutup syarikat tersebut.

“Kalau staff tak report, mustahil hang nak tutup, betul dak? Ini baru kes Kedah Agro. Macam mana dengan Kedah Tourism?,” tambahnya lagi.

Dakwaan dilontarkan oleh Zuraini itu sekali gus mendapat perhatian dan maklum balas daripada Sanusi.

Membalas kembali, Sanusi berkata, ia satu tuduhan keterlaluan yang tidak boleh diambil remeh serta bertindak mahu memfailkan saman terhadap individu terbabit.

“Haaa, jumpa dah tukang reka cerita karut sejak belasan tahun dia bersembunyi di sebalik muka manis. Okay, jom tengok dia boleh pertahankan atau tidak tuduhan keterlaluan dia kali ni. Sila duduk jangan lari. See you in court!,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Tiada ulasan: