"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

5 penyamun ditembak mati semua licik, ganas

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my
Polis tembak mati 5 penyamun di Putra Heights. - Foto NSTP/Safeek Affendy Razali
Polis tembak mati 5 penyamun di Putra Heights. - Foto NSTP/Safeek Affendy Razali
Shah Alam: Kumpulan lima penjenayah yang ditembak mati di Persiaran Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, semalam menjadikan premis kilang; pejabat syarikat logistik; pejabat dan samun dalam rumah sebagai sasaran.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kumpulan yang terdiri daripada warga tempatan berusia 25 hingga 30 an itu dipercayai terbabit dalam 50 kes samun di seluruh Selangor serta Kuala Lumpur dan aktif sejak 2022.

"Kumpulan perompak ini mensasarkan premis yang mempunyai peti besi keselamatan mengandungi wang tunai.

"Mereka ini boleh dikatakan ganas yang mana dalam kes tertentu mereka tidak teragak-agak untuk mencederakan mangsa yang cuba yang menghalang.

"Kumpulan ini juga licik. Mereka dijejaki dan dikehendaki polis sejak 2022," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hussein berkata bagi kes samun syarikat logistik, pihaknya tidak menolak jika ada orang dalam yang memberikan maklumat mengenai wang tunai dalam peti besi keselamatan tersebut.

Katanya, semua lelaki berkenaan mempunyai rekod lampau antara tujuh hingga 16 kes setiap seorang.

"Kumpulan ini dipercayai aktif melakukan samun di kawasan Klang; Puchong; Bukit Jalil dan Cheras dan hasil semakan mereka ini menetap di Klang," katanya.

Terdahulu media melaporkan polis menembak mati lima penjenayah yang disyaki aktif dalam lebih 50 kejadian samun bersenjata api di sekitar Lembah Klang, sejak dua tahun lalu.

Tiada ulasan: