"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga emas ditahan, ugut bunuh Dr Akmal

Amir Mamat
am@hmetro.com.my

Melaka: Lelaki warga emas ditahan dipercayai terbabit dengan kes ugutan bunuh terhadap Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Lelaki berusia 68 tahun yang juga pemilik sebuah bengkel membaiki kereta di Bukit Duyong, di sini ditahan selepas menghina serta mengugut untuk menembak mati Dr Muhamad Akmal susulan kelantangan dalam isu kalimah Allah pada stoking yang dijual di rangkaian pasar mini KK Supermart Mart, pertengahan bulan ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata polis menerima satu laporan daripada pesara kerajaan berusia 62 tahun jam 10.21 pagi hari ini.

"Pada 20 Mac lalu kira-kira jam 3 petang ketika pengadu berada di sebuah bengkel kereta Bukit Duyong, pemilik bengkel itu dikatakan tidak berpuas hati dengan Dr Muhamad Akmal dalam isu KK Mart dan mengeluarkan kata-kata ugutan.

"Pengadu hanya berdiam diri dan tidak melayan lelaki terbabit, namun akibat tidak berpuas hati dengan kata ugutan itu, pengadu membuat laporan di Balai Polis Kandang kerana bimbang keselamatan Dr Akmal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Christopher berkata, susulan itu, polis menahan suspek terbabit di kawasan Kandang, di sini kira-kira 4 petang hari ini.

"Pegawai Penyiasat sedang mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kes yang disiasat.

"Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya," katanya.

Bagaimanapun, suspek dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.

Tiada ulasan: