"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Owh ‘plot twist’ rupanya – Wan Saiful minta RM2 juta termasuk kemoterapi isteri dan gugurkan kes

Harapandaily

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi menepis dakwaan Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa dia ada menerima beberapa tawaran agar mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri.

Zulkafperi mendakwa tawaran tersebut sebenarnya permintaan daripada Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu.

Menurutnya, semua tawaran tersebut sebenarnya permintaan daripada Wan Saiful sebagai syarat untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut berjumpa dengannya untuk mendapatkan penjelasan dan pengesahan berhubung peruntukan yang diterima selepas sokongan dibuat kepada Kerajaan Perpaduan.

Selain itu, Zulkafperi mendakwa antara lain yang turut ‘diminta’ oleh Wan Saiful ialah peruntukan projek bernilai RM2 juta, kos rawatan kemoterapi isterinya, serta pengguguran kes yang sedang dihadapi beliau.

“Adakah mungkin kerana syarat-syarat ini yang tidak masuk akal, maka individu-individu yang disebut (oleh Wan Saiful) iaitu Hasnan dan Datuk Azman, tidak mampu melayan kehendak beliau.

“Maka beliau cuba untuk dapat info dan kepastian dengan mendekati Ahli Parlimen Gua Musang (Mohd Azizi Abu Naim) dan juga saya sendiri, kononnya bertanyakan tentang ubat menahan selera makan bagi menguruskan badan dengan suntikan seminggu sekali.

“Beliau kemudian telah sahkan untuk buat pesanan dua botol ubat tersebut. Itu pun sebenarnya agak aneh.

“Dalam keadaan isterinya sedang hidap kanser dan terima kemoterapi yang beliau dakwa sangat terkesan, ditambah pula dengan kos rawatan ubat yang mahal, kenapa beliau sibuk pula nak kuruskan badan dengan ubat yang mahal.

“Apakah ada muslihat yang tersembunyi?” katanya dalam sidang media di Parlimen pada Isnin.

Zulkafperi juga berkata bahawa Wan Saiful didakwa memberitahu telah bersedia lebih awal untuk memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding beliau.

“Wan Saiful mengaku pertemuan dengan Hasnan dan juga Datuk Azman adalah jauh lebih awal daripada pengumuman saya menyokong Perdana Menteri ke-10. Jadi semua penawaran itu adalah ‘demand’ beliau sendiri.

“Pertemuan dan perbualan dengan saya atau Gua Musang adalah atas pertanyaan beliau sendiri untuk mendapatkan penjelasan dan kepastian,” dakwanya lagi.

Bagaimanapun, Zulkafperi berkata beliau dan Mohd Azizi gagal membantu atau menjadi ‘ejen’ yang baik kepadanya menyebabkan Wan Saiful menuduh mereka yang memujuk untuk memberikan sokongan kepada perdana menteri.

“Jadi jelas kenyataan beliau adalah sangkaan jahat, fitnah dan mengelirukan Dewan serta memutar belitkan fakta.

“(Wan Saiful) menuduh saya tanpa apa-apa bukti yang jelas dan cuba memerangkap dan mengheret saya dalam agenda peribadinya yang berniat jahat,” tambah beliau.

Sementara itu, Mohd Azizi dalam sidang media sama turut mendakwa beliau didekati oleh Wan Saiful bagi mendapatkan penjelasan berhubung peruntukan.

Malah, beliau menegaskan tidak pernah bertemu secara fizikal atau menghubungi Wan Saiful sejak bergelar Ahli Parlimen pada 19 November tahun lalu, kecuali dalam majlis yang dianjurkan oleh PN.

“Jadi pertemuan saya dengan beliau di sebuah kafe di Hotel Marriot pada 17 Januari sebenarnya bukan dirancang oleh saya atau beliau.

“Cuma masa saya ada di kafe, dan beliau mendekati saya bersama seseorang yang saya tak kenal.

“Beliau jumpa saya… salam dan buat semakan apa yang saya dapat selepas sokong Perdana Menteri. Saya hanya beritahu saya dapat peruntukan yang sama seperti Ahli Parlimen kerajaan,” katanya.

Mohd Azizi juga mendakwa Wan Saiful dilihat dalam keadaan ‘sangat tertekan’ ketika itu dan memerlukan seseorang yang boleh mengesahkan bahawa kes yang dihadapinya boleh digugurkan, jika sokongan diberikan.

“Jadi saya beritahu, saya bukan individu yang boleh bagi komen atau jaminan untuk kes tersebut dan (minta) rujuk kepada individu berkenaan.

“Kedua, berkenaan tawaran-tawaran, ia tidak dibangkitkan langsung pada pertemuan tersebut,” katanya lagi.

Wan Saiful sebelum ini mendakwa dua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menjadi ‘ejen pemujuk’ supaya beliau menyokong kerajaan.

Beliau mendedahkan individu terbabit ialah Mohd Azizi dan Zulkafperi bersama tiga lagi individu dikenali sebagai Hasnan, Datuk Azman, dan Datuk Rahim.

Tiada ulasan: