"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Duit RM500,000: Pemilik tak muncul

Pemilik RM500,000: 'Janji datang hari ini, tapi belum nampak kelibat'

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Individu yang mendakwa wang berjumlah lebih RM500,000 yang ditemui dalam bagasi di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli belah di Damansara, pada minggu lalu masih belum tampil memberikan keterangan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata sebelum ini lelaki berkenaan memberitahu bahawa dia akan memberikan keterangan dan bukti bahawa wang berkenaan milik syarikatnya kepada polis, hari ini.

"Belum (tampil beri keterangan). Dia janji nak datang hari ini tapi belum nampak kelibat.

"Sesiapa sahaja yang menuntut wang berkenaan, boleh tampil dan buktikan kepada kami. Jika tidak kami akan lakukan prosedur pelupusan harta yang tidak dituntut.

"Kami tidak kisah jika anda hendak datang atau tidak, kita akan bagi tempoh yang mencukupi cuma dia dah bagitau yang itu (wang) milik syarikatnya tapi dia tidak datang untuk beri bukti yang wang berkenaan miliknya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat prosedur untuk pelupusan harta yang tidak dituntut antaranya mengiklankan dalam media bagi tempoh masa tertentu sebelum tindakan pelupusan dilakukan (sekiranya tiada tuntutan).

Media sebelum ini melaporkan polis menerima laporan daripada sebuah syarikat teknologi maklumat yang mendakwa bagasi berisi wang tunai melebihi RM500,000 yang ditemui di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli belah di Damansara, di sini, milik mereka.

Hussein berkata, polis menerima laporan daripada seorang pengawal keselamatan warga tempatan berusia 30-an berkaitan penemuan sebuah bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana kira-kira jam 8 pagi, 20 Mac lalu.

Menurutnya, hasil pengiraan mendapati beg itu berisi wang kertas not RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000.

Tiada ulasan: