FMT Reporters
PETALING JAYA: Penganggur mengaku salah kerana merogol dan mencabul kehormatan anak perempuannya berusia 19 tahun di Mahkamah Sesyen Ipoh, antara Februari dan Mac lalu.
Tertuduh, 38, membuat pengakuan itu selepas pendakwaan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.
Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada enam anak itu didakwa merogol anak kandungnya di mana perhubungan itu tidak dibenarkan bawah undang-undang, hukum agama, adat, dan kebiasaan terpakai untuk berkahwin.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Batu Gajah pada 10 hingga 12 malam, Februari lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta tidak lebih 10 sebatan, jika sabit kesalahan, lapor Astro Awani.
Tertuduh turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan mangsa di lokasi sama pada 8.30 pagi, 20 Mac 2024.
Pendakwaan bagi kes itu dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qurratu’aini Khalifah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 April untuk hukuman dan fakta kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan