"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahathir nasihat Najib bersihkan nama

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya membersihkan namanya di mata rakyat Malaysia berhubung gerakan bersepadu media barat memburukkan imejnya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Dalam blognya, Dr Mahathir menulis bahawa Najib perlu menerima hakikat yang serangan media asing terhadap peribadinya akan berterusan dan mengingatkan beliau perkara yang penting ialah ”apakah pandangan rakyat” Malaysia terhadap kempen itu.

Beliau berkata, agak sukar baginya menerima hakikat bahawa kegiatan media barat untuk memburukkan-burukkan Najib itu satu kebetulan kerana ia dilakukan secara beramai-ramai dan serentak.

”Dari Perancis ke Britain hingga ke Australia, laporan-laporan yang disiarkan adalah seiras dan membawa mesej yang sama – Perdana Menteri baru Malaysia adalah seorang yang rasuah dan terbabit dalam satu kes pembunuhan,” kata Dr Mahathir.

Malah dalam hubungan ini, beliau mendedahkan seorang penulis Australia sanggup menyifatkan  Malaysia sebagai sebuah negara ”pariah” .

Beliau berkata laporan-laporannya media barat itu mendakwa Najib juga dikatakan akan membawa balik ideologi pemerintahan yang digelar sebagai ”Mahathirisme”

”Melalui slogan Mahathirisme media barat cuba hendak mengatakan bahawa saya sebagai Perdana Menteri keempat adalah seorang diktator yang memenjarakan orang tanpa sebab, menyalahgunakan badan kehakiman dan memanipulasi akhbar di Malaysia,” kata beliau.

Dr Mahathir menyatakan bahawa sebagai orang yang dibabitkan, beliau menyerahkan kepada rakyat Malaysia untuk membuat kesimpulan mereka sendiri dan mentakrifkan maksud ”Mahathirisme”.

Beliau menegaskan isu ini adalah antara perkara utama yang Najib perlu beri perhatian.

Dr Mahathir juga menulis bahawa media barat mempunyai agenda mereka sendiri dan rakan-rakan mereka di Malaysia menyalurkan maklumat anti-Najib kerana khuatir Najib akan menamatkan kawalan mereka ke atas media.

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: