"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kayveas Pengecut - Murugiah

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata keputusan Lembaga Disiplin parti itu Sabtu lalu menafikan hak anggota parti untuk terlibat dalam membuat pemilihan pucuk pimpinan PPP.

"Bagi saya, saya belum dipecat dan masih ahli PPP, kumpulan yang berkumpul semalam itu haram, tidak dipilih oleh ahli, mereka ini kroni-kroni yang dia (Kayveas) pilih.

"Kalau dia berani, suruh dia buat pemilihan, jangan jadi pengecut... berdepan dengan saya, saya cabar dia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Perniagaan Kecil, Agro Tani dan Francais di sini, semalam.

Beliau juga menyifatkan tindakan pemecatannya itu sebagai pimpinan kuku besi oleh Kayveas, bukan hanya merosak dan mencemarkan imej PPP, malah membawa masalah kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) lain terutama dalam situasi politik masa kini.

Sehubungan itu, beliau meminta BN menggantung sementara kehadiran Kayveas di dalam Dewan Tertinggi BN akan datang sehingga masalah dalaman PPP diselesaikan.

Mesyuarat dua jam disertai 39 anggota Lembaga Disiplin PPP membuat keputusan itu kerana mendakwa Murugiah menggunakan pejabatnya, iaitu pejabat Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, untuk mengadakan satu sidang akhbar yang mencemar nama baik parti dan membuat kenyataan bersifat fitnah mengenai parti, Majlis Tertinggi dan kepimpinan parti.

Menurut lembaga itu, Murugiah turut mengugut peguam parti dan anggota Majlis Tertinggi, dengan mengatakan bahawa beliau akan menggunakan segala kuasa yang ada padanya untuk membatalkan pendaftaran parti PPP.

Murugiah berkata beliau akan menegakkan keadilan dengan mengunjungi sendiri ke pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) esok untuk mendapatkan pengesahan berhubung status parti itu.

"Tidak pernah dalam mesyuarat agung parti ada mengemukakan penyata kewangan dan pasti ada yang tidak kena dengan parti ini," katanya.

Mengenai dakwaan bahawa beliau mengamalkan politik wang, Murugiah berkata ia merupakan satu dakwaan tidak berasas.

Murugiah berkata beliau hanya merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga Biro Pengaduan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Pelajaran dan tidak mampu memberi wang atau mempunyai kuasa untuk memberikan projek kepada sesiapa.

Ditanya sama ada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada menemuinya, beliau berkata "memang mereka pernah datang ke pejabat baru-baru ini tetapi hanya untuk memeriksa beberapa dokumen, tidak ada apa-apa pun".

Sementara itu, Murugiah berkata beliau telah dihubungi oleh seseorang yang penting di dalam MIC menawarkannya untuk menyertai parti itu namun masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu.

"Saya berterima kasih kepada MIC yang melihat saya ini seorang pemimpin yang mempunyai potensi," katanya. 

-BERNAMA-

Tiada ulasan: