"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Manek Urai: Pengundi Manek Urai teruskan agenda Pakatan Rakyat

Lanjusoh

KUALA KRAI, 21 Jun (Hrkh) - Pengundi di Manek Urai perlu meneruskan perjuangan yang telah dilakukan rakan-rakan di tempat lain pada pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini.

"Jangan pula rakyat di sini gagal meneruskan usaha yang dilakukan rakyat di tempat lain dengan menolak Umno dan Barisan Nasional.

"Rakyat di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Penanti telah menolak BN pada pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato' Husam Musa ketika melancarkan jentera pilihan raya pemuda di Lata Rek, kelmarin.

Bagaimanapun beliau yakin pengundi di Manek Urai tidak akan mencacatkan perjuangan yang diteruskan rakan-rakan di tempat lain.

Ini kerana kata beliau rakyat Kelantan mempunyai daya juang yang tinggi kerana lebih awal lagi menolak BN ketika situasi itu tidak berlaku di negeri-negeri lain.

"Ketika orang lain masih lena dalam perjuangan kita telah lama bangkit. Ketika orang lain baru hendak bangun kita sudah boleh berdiri di atas kerusi," ujarnya.

Beliau berkata, biar pun mesej perpaduan Melayu yang cuba dibawa Umno di Manek Urai, namun ia tidak lebih sebagai retorik bagi mempengaruhi rakyat semata-mata.

Katanya, Umno sengaja hendak kelirukan rakyat di Manek Urai dengan isu orang Melayu perlu berpadu, sedangkan hakikat sebenar perpaduan yang hanya menguntungkan politik mereka sahaja.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, Umno cuba memperbodohkan orang Melayu di kawasan hulu Kelantan kerana menganggap mereka tidak peka dengan perkembangan politik semasa.

Sedangkan katanya di kawasan yang mempunyai bilangan penduduk bukan Melayu yang agak ramai Umno cukup rimas kerana berlaku penolakan terhadap BN.

"Misalnya orang Cina di Kuala Sepetang, Bukit Gantang biar pun diberi bantuan bot oleh Umno namun mereka tetap menolak calon BN pada pilihan raya yang diadakan sebelum ini," ujarnya.

Begitu juga katanya di tempat-tempat lain orang bukan Melayu menolak Umno dan BN seperti telah dibuktikan pada lima pilihan raya kecil yang diadakan selepas Mac 2008.

Lebih-lebih lagi katanya, kalangan pengundi muda di saluran tiga dan empat hampir menyeluruh menolak BN.

Beliau berkata, rakyat bukan Melayu di luar Kelantan terus mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat setelah berjaya diwujudkan pada Mac 2008.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Haji Abdul Fatah Harun berkata, terdapat Hadis Nabi Muhammad saw yang menjelaskan pada akhir zaman golongan muda lebih berminat kepada perjuangan Islam berbanding orang tua.

"Jadi apa yang berlaku sekarang sudah tepat dengan maksud Hadis Nabi Muhammad saw di mana menggambarkan orang tua semakin jauh dengan Islam, sedangkan golongan muda ramai mempertahankan Islam," katanya.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, pemuda perlu masuk setiap jalan dan lorong di Dun Manek Urai bagi menemui pengundi untuk menyampaikan mesej Islam.

"Pemuda hendaklah jumpa setiap pengundi di atas pagar dan yang menyokong Umno bagi menjelaskan kepada mereka kelebihan perjuangan Islam," katanya.

Kata beliau kemenangan di Manek Urai adalah hadiah kepada Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah berjaya mempertahankan Kelantan sejak hampir 20 tahun lalu di bawah agenda membangun bersama Islam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan berkata, pemuda yang turun ke medan hendaklah mempamerkan akhlak Islam bagi menarik perhatian penduduk.

"Biarlah orang kampung melihat cantiknya akhlak pemuda-pemuda PAS yang membawa mesej perjuangan Islam kepada mereka," katanya.

Hampir 500 pemuda daripada 29 cawangan PAS di Dun Manek Urai hadir pada program tersebut.


Tiada ulasan: