Ahmad Lutfi Othman | |
Selepas meninggalkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 23 tahun lalu, hanya beberapa kali saya singgah di kampus Jalan Semarak itu meskipun sering melintasinya ketika pulang dari pejabat. Namun pada 11 Ogos lalu, saya tergerak untuk mengikuti syarahan perdana Naib Canselor, Prof Dr Zaini Ujang, bertajuk Universiti, Kreativiti, Inovasi. Dan memang berbaloi saya mengorbankan 'waktu tidur petang' selepas menyiapkan deadline Harakah. Zaini, 43, naib canselor termuda, merupakan teman lama sewaktu aktif dalam gerakan pelajar sekitar 1984-86. Walaupun tidak berkesempatan menyerlahkan sepenuhnya daya kepimpinan beliau sewaktu menggerakkan Persatuan Mahasiswa UTM, bakat alam Zaini cukup terserlah. Intipati syarahannya pada petang Selasa itu mengingatkan saya idealisme Zaini yang tidak pernah pudar. Tanggapannya terhadap konsep universiti, budaya ilmu dan tugas kesarjanaan kekal segar. Ini tidak menghairankan; Zaini dikenali sejak mahasiswa sebagai ulat buku, pencinta ilmu, yang kemudiannya penulis prolifik yang memenatkan para editor di Penerbit UTM Press! Bayangkan untuk tahun ini sahaja sudah enam judul bukunya diterbitkan. Antara lain Zaini mengungkapkan senario semasa yang perlu diubah: "... betapa menjadi pensyarah tidak lagi memerlukan kemantapan intelektual dan kesegaran idealisme terhadap akademia ... Aspek yang menjurus kepada pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu seperti wacana, diskusi, 'kegilaan membaca dan menulis' dan persekitaran yang mesra intelektualisme tidak lagi menjadi trend dan aset penting. "Tidak ada lagi debat atau diskusi ilmiah tentang isu-isu pokok yang membabitkan perkembangan isu semasa dalam arena politik, ekonomi, sosial, sains dan teknologi. Kalaupun ada jarang sekali dianjurkan. Itu pun dengan segala macam syarat dan perkiraan supaya tidak bersifat sensasi dan sensitif. Akhirnya aktiviti kampus yang sepatutnya meriah ilmu menjadi hambar dan lesu ..." Walaupun kehadiran Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah adalah untuk merasmikan majlis syarahan perdana itu, namun ucapannya juga menggugah pemikiran dan mencetuskan minat audien. Agak lama tidak mendengar pak menteri bercakap dengan nada dan lenggok Saifuddin, terutama selepas Anwar Ibrahim dipecat. Kupasannya tentang dunia ilmu nampak original dan selari dengan Zaini. Lebih dari itu, secara peribadi saya melihat Saifuddin mempunyai 'keberanian' tersendiri khususnya apabila membicarakan soal idealisme mahasiswa dan kaitan dengan dunia politik. Dalam satu program Astro Awani, Saifuddin ditanya hal pembabitan mahasiswa dengan pergolakan semasa. Timbalan menteri dalam jawapannya banyak memberi ruang buat pelajar untuk bereksperimen. "Biar mahasiswa menentukan diri mereka sendiri," begitulah antara yang beliau sering tekankan. Dari sudut ini, saya kira, jalur pemikiran Saifuddin nyata berbeza dengan rakan-rakannya dalam Umno dan kerajaan. Malah ketika menyampaikan ucaptama dalam kongres anjuran Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), 8 Ogos lalu, beliau dilaporkan memuji penganjurnya kerana lantang berjuang supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti dipinda. Dalam sidang media selepas itu, Saifuddin berkata, selepas pindaan Auku, mahasiswa boleh terlibat lebih banyak dalam politik. Ditanya sama ada kementeriannya telah mengenal pasti mahasiswa yang terlibat dalam demonstrasi anti-ISA, 1 Ogos, Saifuddin hanya menjawab "tidak ada". Lebih menarik apabila beliau menyoalnya kembali: "Apa masalahnya dia hendak demonstrasi?" Saifuddin dan Zaini mungkin dilihat sebagai watak-watak baru yang diharap berupaya memecahkan kongkongan lapuk di kampus-kampus, yang sekian lama menderita terpasung. Malangnya lebih ramai pentadbir universiti, apatah lagi golongan penguasa, yang terus terikat dengan pendekatan kuno, dan meletakkan warga kampus dalam penjara terbuka. Moga-moga dua anak muda ini, yang rasanya rapat secara peribadi dengan Perdana Menteri, berjaya menggapai impian mereka meskipun saya masih sangsi Najib Razak akan membuka ruang selesa buat mereka. - harakahdaily.net- |
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
UBN Najib Altantuya: Bersediakah Najib beri ruang buat Saifuddin, Zaini Ujang?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan