"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Kalah di Bagan Pinang bererti habislah riwayat Umno

Zulkifli Sulong
TELOK KEMANG, 6 Sept: PAS yakin, jika calonnya berjaya mengalahkan calon Umno dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang dekat sini, Umno akan jatuh pra matang atau sebelum masa ia akan jatuh sebagaimana yang sepatutnya.

Sekurang-kurangnya inilah pandangan AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa. Ini kerana, jika Umno kalah di kawasan yang dimenanginya dengan majoriti lebih 2,000 undi ini bermakna Umno benar-benar ditolak rakyat.

Husam menyertai para pemimpin kanan PAS Negeri Sembilan menziarahi jenazah Allahyarham Azman Mohd Nor, Adun Bagan Pinang yang meninggal Jumaat lepas. Antaranya Pesuruhjaya PAS negeri, Zulkefli Mohd Omar dan Yang Dipertua PAS Kawasan Telok Kemang yang juga calon PAS dalam pilihan raya umum 2008 lalu, Ramli Ismai.

Husam bergegas dari Kuala Lumpur hanya berbuka di atas kereta sebelum terus ke tanah perkuburan Islam Bagan Pinang. Ketika beliau dan rombongannya sampai kira-kira jam 7.50 malam, jenazah Azman belum sampai lagi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dan anaknya, Mohd Najib tiba selepas itu iaitu sejurus sebelum kereta jenazah tiba. Isa adalah Ketua Cawangan Umno di situ di samping Ketua Umno Bahagian itu.

Image(Gambar: Isa datang bersama anaknya, Mohd Najib (kanan sekali) ke tanah perkuburan Azman. Berita angin Isa sedang lobi agar anaknya itu menjadi calon tersebar luas).

Dalam pilihan raya umum lalu, calon PAS kalah kepada Azman dengan 2,333 undi. Faktor utama kemenangan calon BN adalah kehadiran kira-kira 5,000 pengundi pos Tentera Darat di kawasan yang mempunyai kira-kira 14,000 pengundi itu.

Mereka adalah dari Pusasda Kem Si Rusa (1,903 undi), 2 KAD Kem Sunggala (1,130 undi), IJED Kem Kg Sawah (847 undi), IPDA Port Dickson (407 undi), 1 Kompeni KPD Kem Si Rusa (265 undi), 1 WKSP Bgd Kem Sg Sawah (165 undi), Sekolah Pertukangan Perintis (105 undi) dan ILMI Port Dickson (103 undi).

Dalam pilihan raya 2008, Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi berdaftar di mana 66 peratus darinya Melayu, 10.5 peratus Cina, 19.9 India dan 3.5 peratus bangsa-bangsa lain.

Jika Pakatan Rakyat mengekalkan persefahamannya, calon PAS akan diletakkan dalam pilihan raya kecil ini bagi mewakili mereka. Bagaimana, Ketua Angkatan Muda PKR Telok Kemang dalam kenyataannya menuntut agar kerusi itu ditandingi oleh PKR.

Bagan Pinang mempunyai sembilan daerah mengundi iaitu empat majoriti India, empat kawasan Melayu dan campuran Cina serta undi pos.

Dalam pilihan raya lalu, PAS hanya menang di tiga daerah mengundi iaitu Ladang Atherton, Pekan Siliau dan Sua Betong. Ketiga-tiga kawasan itu adalah majoriti pengundi India.

PAS kalah paling teruk undi undi pos. Dari 5, 191 kertas undi yang dikeluarkan, PAS hanya mendapat 1,189 undi manakala calon BN 3,080 undi.

PAS paling banyak menang di Ladang Aterton di mana calon PAS menang dengan majoriti 84 undi.

Berdasarkan rekod pilihan raya kecil sebelum ini, PAS dijangka akan meningkatkan undinya di kalangan orang India. Tambahan lagi dengan apa yang berlaku di Selangor baru-baru ini apabila sekumpulan penyokong Umno mengarakkan kepala lembu berdarah ke Pejabat MB Selangor.

Namun kebimbangan terhadap undi pos menjadi mimpi ngeri bagi PAS. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri membangkitkan perkara ini.

"Kami meragui undi pos kerana kami tahu undi pos seperti askar dan polis tidak diberikan kebebasan dalam mengundi.

"Inilah sebabnya kenapa undi pos sentiasa dianggap undi yang kotor," kata beliau ketika ditemui semasa pertemuan dengan pemimpin PAS Perak di Ipoh.

Bagaimanapun sebagaimana kata Husam, adalah tidak mustahil untuk PAS menang dalam pilihan raya kecil ini dan jika PAS menang bererti nyawa Umno benar-benar di hujung tanduk.

Tiada ulasan: