"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahfuz Khuatir Proses Keadilan Tidak Dilaksana Dalam Kes Liwat II Anwar

Mengulangi kebimbangan yang sama seperti penasihat DAP dan seluruh pimpinan Pakatan Rakyat, Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar bagaimanapun lebih khuatir terhadap proses keadilan yang tidak diaplikasikan dalam kes liwat II Anwar.

Mahfuz ketika dihubungi Tv Selangor berkata, perasaan bimbang yang semakin tebal sementelah beberapa hari sahaja lagi perbicaraan Anwar akan berjalan tidak mampu mengalahkan sokongan padu terhadap Anwar.

“Kebimbangan ini bukanlah kebimbangan Anwar akan disabitkan dengan kesalahan, bukan sekadar itu sahaja. Tetapi kebimbangan kita ini kerana, perbicaraan itu tidak dapat dijalankan dengan telus kerana ia dipantau oleh tangan-tangan ghaib yang hendak memastikan hasil perbicaraan itu nanti Anwar akan dihantar ke penjara Sungai Buluh” ujar Mahfuz.

“Ya, sudah tentunya kami menaruh perasaan bimbang terhadap kes perbicaraan ini. Pertama sekali kerana kita dalam Pakatan Rakyat adalah satu keluarga. Bagaimana keluarga Datuk Seri Anwar sendiri merasa bimbang, begitu juga kebimbangan dari kami rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat” tambah beliau lagi.

Tambahnya lagi, kerajaan Barisan Nasional seolah-olah mengulangi skrip yang sama dalam kes liwat II Anwar ini meskipun bukti klinikal jelas menunjukkan bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan tidak diliwat.

Perbicaraan kes liwat II Anwar dijadualkan pada 2 Februari di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sementara kes tuntutan Qazaf Anwar terhadap Saiful akan dijalankan di mahkamah Syariah pada 17 Februari depan.

Meskipun ramai yang beranggapan bahawa gagasan itu bakal menghadapi jalan sukar sekiranya Anwar dikenakan hukuman, namun menurut Mahfuz, tidak ada apa yang berubah, agenda parti akan tetap diteruskan untuk membela rakyat.

“Kita tetap meneruskan agenda. Agenda perjuangan Pakatan Rakyat mesti diteruskan. Sama ada Anwar disabit ataupun tidak. Maknanya kalau Anwar disabit pun agenda Pakatan Rakyat akan diteruskan sebab perjuangan kita bukan untuk seorang individu. Ini untuk pastikan keadilan untuk semua”.

Malah ujar Mahfuz lagi, Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang diterjemahkan melalui konvensyen sulung gagasan itu hujung tahun lalu, merupakan satu pencapaian besar parti itu dan akan diteruskan sehingga ke akhirnya.

“Kalau kita rasakan perjuangan kita akan terbengkalai, akan terhenti apabila Anwar disabitkan dengan kesalahan,bermakna kita akan membiarkan sistem negara kita ini, akan terus berada di tahap yang berlau selama ini. Jadi kita mesti merubah. Kita bukan sahaja mahu Anwar diberikan keadilan tetapi kita mahu seluruh rakyat itu diberikan keadilan”.
-tvselangor-

Tiada ulasan: