"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas Speaker, Adun Sitiawan persoal polis diambil keterangan

IPOH, 12 April: Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham hari ini memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini berhubung kenyataannya yang mempersoal kehadiran polis selepas sidang Dewan Undangan negeri Perak Mac lepas.

Sambil mengesahkan kehadiran Ngeh, Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata kes Anggota Parlimen Beruas itu akan dirujuk ke Ibu pejabat Polis Kontinjen Perak namun belum dapat menjelaskan butir-butir siasatan.

Beliau berkata selain itu keterangan bekas Speaker DUN V.Sivakumar turut diambil hari ini dan polis akan mengambil keterangan Adun Pasir Panjang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin esok.

Ngeh yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sitiawan disiasat polis mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan bahawa polis mungkin menembak sesiapa yang tidak disukai secara sesuka hati pada satu sidang akhbar selepas sidang DUN Perak pada 30 Mac lepas.

Sementara itu, Ngeh mahu pihak polis menyerahkan lima salinan laporan polis yang telah dibuat terhadapnya sebelum ini bagi memudahkannya memberi keterangan terhadap siasatan yang sedang dijalankan terhadapnya.

“Saya bersedia memberi sepenuh kerjasama kepada polis bagi membolehkan mereka menyiapkan kertas siasatan terhadap aduan yang dibuat terhadap saya.

Tetapi polis juga harus bersikap adil pada saya dengan mengemukakan terlebih dahulu kelima-lima aduan polis terhadap saya (berhubung kes itu),” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas memberikan keterangan di IPD Ipoh di sini.

Ngeh hadir di IPD Ipoh sekitar 11 pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung dakwaannya yang mempersoal kehadiran pegawai serta anggota polis pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

“Saya dimaklumkan bahawa pihak polis telah memanggil saya untuk memberi keterangan beberapa hari lalu...tetapi saya tidak dapat berbuat demikian kerana masih berada di Parlimen (menghadiri sidang di Dewan Rakyat) pada masa itu” katanya.

-Bernama-

Tiada ulasan: