"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan Selangor Sukar Bantu Percepat Pembinaan Hospital Shah Alam

SHAH ALAM, 5 APR: Kerajaan Selangor tidak dapat membantu dalam mempercepat pembinaan Hospital Shah Alam yang tertangguh berikutan masalah itu berpunca dari pemberian tender yang dikeluarkan kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri pasti mempunyai jalan penyelesaian bagi memastikan projek berkepentingan rakyat itu dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

“Tender Hospital Shah Alam itu adalah keputusan yang dibuat oleh kerajaan Persekutuan. Sekiranya di bawah kerajaan negeri, kami tahu apa yang hendak dibuat tetapi masalahnya ia datang dari kerajaan persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri Selangor yang diadakan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pagi ini.

Masalah pembinaan Hospital Shah Alam yang ditunggu-tunggu penduduk bandar raya ini sejak sekian lama tetapi tertangguh berikutan karenah subkontraktor, menunjukkan keburukan amalan sistem rundingan terus .

Mengikut jadual, Hospital Shah Alam bernilai RM482 juta itu sepatutnya dibuka November ini.

Semalam, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua mendesak hal itu disiasat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) kerana ia berkaitan masalah pemberian tender melalui rundingan terus walaupun mengikut pengumuman awal, ia akan dilakukan menerusi sistem tender terbuka.

Beliau menyifatkan rakyat marhaen menjadi mangsa dalam kes berkenaan berikutan pembinaan Hospital Shah Alam itu penting bagi mengurangkan beban yang ditampung Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Masalah itu bermula berikutan pemegang kontrak Hospital Shah Alam, Sunshine Fleet Sdn Bhd kini mengalami masalah kerana berdepan kemungkinan diisytihar bankrap selepas gagal membayar tuntutan RM10 juta oleh subkontraktornya, GMH Healthcare Sdn Bhd.

Mengikut laporan Malaysia Kini, Sunshine Fleet, pada mulanya memberi kontrak itu kepada Isyoda Corporation Berhad.
Isyoda kemudian gagal menyiapkan projek itu selepas dikeluarkan dari Bursa Malaysia dan dalam proses diisyitihar bankrap.

Projek itu diambil alih pula GMH yang terpaksa membayar Isyoda 10 juta ringgit bagi pihak Sunshine Fleet sebagai bayaran bon pendahuluan.
-tvselangor-

Tiada ulasan: