"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nilai apakah yang ingin kita tanamkan dalam jiwa remaja?

Roha Hassan

Hati kita pasti tergores setiap kali melihat seorang atau sekumpulan remaja melakukan kesalahan jenayah atau perbuatan yang melanggar bataskemanusiaan, apatah lagi agama.

Namun, goresan itu pasti akan membengkak dan bernanah kalau setiap kejelikan itu hanya ditatap sambil menggelengkan kepala. Sungguhpun ia cukup untuk menunjukkan betapa kita tidak redha dengan apa yang berlaku, sesuatu masih perlu dilakukan.

Ketika merenung dan berfikir apakah antara perkara yang mungkin merupakan salah satu aspek yang membezakan seorang remaja dengan remaja yang lain, saya teringatkan tentang nilai.

Nilai yang saya maksudkan adalah merujuk kepada etika atau prinsip moral atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan manusia.

Mungkin ramai antara kita, secara sedar atau tidak akan mendapati seorang anak itu sejak dilahirkan lagi telah ditanamkan dengan pelbagai nilai dalam diri mereka. Sama ada ia disemai secara langsung atau tidak. Ia akan membawa pengaruh besar yang biasanya bersifat kekal dalam diri kebanyakan manusia. Antaranya:

1. Nilai keagamaan – Setiap agama menekankan nilai yang baik kepada setiap penganutnya. Namun berapa mendalam nilai yang ditanamkan bergantung kepada siapa yang mendidik insan tersebut. Jika baik agama ibu bapa seseorang, nilai agama yang diperturunkan kepada anak-anak adalah lebih baik berbanding sebaliknya. Nilai agama bukan sahaja datang daripada ibu bapa tapi daripada semua faktor dalaman dan luaran yang boleh mencapai seseorang remaja itu.

2. Nilai budaya – Setiap budaya menekankan perlakuan sistematik melakukan sesuatu dengan betul, kemas dan berkesan. Namun tidak dapat dinafikan terdapatnya budaya yang bertentangan dengan agama. Budaya sesuatu bangsa ada ketikanya tidak sesuai dengan budaya bangsa yang lain. Tidak kurang pula manusia yang menjadikan budaya satu alasan untuk menghakis nilai-nilai kemanusian dan menentang nilai keagamaan.

3. Nilai sosial – Nilai ini tidak kurang pentingnya. Pemikiran remaja yang dalam proses menuju kematangan mudah dijajah. Penjajahan sesuatu nilai sosial yang dibentuk oleh orang dewasa sering menjadikan remaja sebagai mangsa. Siapa yang mencipta nilai sosial sehingga hampir semua remaja menjadi hamba material kalau bukan golongan dewasa itu sendiri?

4. Nilai politik – Pemimpin adalah contoh kepada yang dipimpin. Baik ketuanya, sudah tentu baiklah pengikutnya. Barangkali ramai orang dewasa yang merasakan politik adalah persoalan orang dewasa. Tidak ada kena mengena dengan remaja. Kerana pandangan sempit inilah terdapat golongan tertentu menjadikan politik satu perjuangan yang penuh dengan nilai-nilai yang kotor dan tercemar.

5. Nilai psikologi – Remaja harus dijelaskan tentang kebaikan dan keburukan sesuatu perkara. Setiap kejadian yang menimpa mereka atau remaja lain harus dijelaskan agar nilai psikologi ini dapat dimanfaatkan untuk memberikan mereka beberapa kemahiran, antaranya kemahiran membuat keputusan atau memilih antara yang benar dengan yang salah, indahnya yang benar dan jeliknya yang salah.

6. Nilai ekonomi – Jangan katakan persoalan ekonomi urusan orang dewasa tanpa menerangkan kesannya terhadap remaja. Mendidik remaja dengan nilai ekonomi yang betul dapat membentuk sikap mereka ketika berbelanja. Remaja juga boleh dididik melakukan sesuatu yang boleh memberikan pendapatan kepada diri dan keluarga.

7. Nilai teknologi – nilai teknologi memainkan peranan besar dalam kehidupan hari ini. Teknologi membawa kebaikan dan keburukan. Ia sama sahaja dengan segala elemen yang Allah jadikan jika diambil secara salah dan berlebihan. Oleh itu manfaatkan nilai teknologi secara yang betul demi pembentukan remaja yang soleh wa musleh. Ia adalah satu perjuangan yang tidak boleh dipandang remeh.

8. Nilai estetik yakni keindahan – Ia boleh ditanam ke dalam minda remaja terhadap benda-benda atau perkara-perkara yang boleh dilihat keindahan dan kebaikannya. Ia membantu remaja menjadi lebih kritis dan kreatif.

Begitulah sedikit sebanyak rangkuman nilai yang ada kesannya terhadap seseorang insan khususnya remaja.

Apapun jua cara kita mendefinisikannya, Allah subhanahu watala dan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam telah meninggalkan dua perkara yang di dalamnya termaktub segala nilai yang pastinya menjadi panduan mengawal nilai-nilai di atas. Itulah al-Quran dan as-sunnah.

Andai kedua-duanya dipinggirkan bagai barang tidak bernilai, apakah diri kita masih ada nilainya wahai remaja?

Firman Allah subhanahu watala dalam surah al-Anfal ayat 29 yang bermaksud,

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan Furqan (kemampuan membezakan antara yang hak dan batil) kepadamu dan menghapuskan segala kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosamu). Allah memiliki kurnia yang besar.”

http://www.malaysiaharmoni.com

Tiada ulasan: