"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hanya Umno Yang Suci Dan Hebat,MCA Dan MIC Kotor

Sofi Wahab

Rencana Media Pengampu Umno jelas menghentam dan merendah-rendahkan Presiden MCA dan MIC. Rencana dengan jelas mempertikaikan kewibawaan, integiti dan tindak tanduk kedua-dua parti sebantal dengan UMno. Ianya dengan jelas mempertikaikan tindakan Soi Lek bertanding kerusi Presiden MCA sehingga beliau menang sedangkan Soi Lek sendiri terbukti mempunyai skandal video sex.

Rencana itu juga menggesa Samy Vellu supaya berundur kerana menurutnya Samy Vellu sudah menjadi liabiliti kepada MIC.

Komen saya mudah sahaja, adakah Presiden Umno itu maksum dan jauh lebih baik dari Presiden MCA dan MIC. Takut-takut kata Dulang Paku Serpih, Mengata Orang Dia yang Lebih.

Rencana yang disiarkan oleh sebuah Media Pengampu Umno hari ini benar-benar mengguriskan hati Presiden dan ahli-ahli MCA. Rencana secara terang-terang memperlekehkan tindakan Soi Lek yang masih mahu merebut jawatan Presiden MCA sedangkan diri penuh dengan skandal kontroversi.

Sebaliknya rencana itu memuji bekas Ketua Wanita MCA yang melepaskan jawatannya kerana prinsip.

Rencana penuh saya siarkan dibawah ini:

PELETAKAN jawatan Ketua Wanita MCA, Chew Mei Fun pada Khamis lepas menarik perhatian Awang. Beliau turut melepaskan jawatan sebagai senator dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Tindakan tersebut diambil tidak sampai dua minggu selepas pemilihan MCA yang menyaksikan Chua Soi Lek dipilih sebagai Presiden baru parti itu.

Peletakan jawatan Mei Fun adalah atas prinsip kerana tidak dapat menerima Soi Lek sebagai peneraju parti tersebut berikutan skandal DVD seks yang pernah menggemparkan negara. Sebelum pemilihan, Mei Fun telah mengisytiharkan akan meletakkan jawatan jika Soi Lek yang ketika itu Timbalan Presiden MCA menang jawatan Presiden.

Awang angkat topi kepada Mei Fun. Beliau berpegang pada prinsip. Sesungguhnya, Awang juga terkilan dengan keputusan perwakilan MCA menobatkan Soi Lek.

Demokrasi tetap demokrasi. Politik tetap politik. Tetapi pada Awang, perwakilan MCA telah melakukan kesilapan dengan memilih Soi Lek sebagai Presiden. Apa yang berlaku seolah-olah MCA ketandusan pemimpin dan tidak berani menyandarkan harapan kepada pemimpin pelapis. Perwakilan parti itu yang merupakan komponen BN gagal membawa aspirasi masyarakat Malaysia dalam memilih pemimpin yang terbaik dalam semua aspek terutama akhlak.

Soi Lek sepatutnya berjiwa besar dan tidak semestinya bertanding hanya kerana ada sokongan daripada ahli-ahli MCA. Skandal tersebut adalah sesuatu yang serius. Pemimpin harus bersih atau setidak-tidaknya kelihatan bersih.

Biarpun masyarakat Cina khususnya perwakilan MCA mudah memaafkan perbuatan seperti itu, Soi Lek harus amalkan kebertanggungjawaban. Realitinya beliau telah mencemarkan imej MCA dan BN. Skandal itu juga masih agak baru dan segar dalam ingatan masyarakat.

Maka tindakannya untuk bertanding jawatan lebih tinggi sampai ke puncak hanya menampakkan beliau pentingkan diri. Awang bukanlah berniat mencampuri urusan MCA tetapi isu moral tidak boleh diambil ringan. Jika pemimpin BN mempersoalkan moral pemimpin utama pembangkang, mengapa pula perwakilan MCA boleh berkompromi dalam hal tersebut.

Maka Awang boleh memahami kebijaksanaan tindakan Mei Fun. Perlu ada yang menjadi korban demi menjaga imej dan integriti parti. Apa pun keputusan telah dibuat oleh perwakilan. Sama ada suka atau tidak, kemenangan Soi Lek perlu diterima semua pihak. Namun Awang berharap Soi Lek tidak dilantik menjadi menteri Kabinet. Menempatkan beliau di barisan Kabinet hanya memberikan isyarat yang salah kepada rakyat dan mendedahkan lagi ruang kepada pembangkang untuk menyerang kerajaan. Kabinet kita akan jadi bahan momokan.

Meskipun Awang mengambil pendirian menyokong tindakan Mei Fun dalam isu ini tetapi secara peribadi Awang tetap menghargai keberanian Soi Lek kerana membuat pengakuan terlibat dalam skandal seksnya.

Kita masih ingat bagaimana beliau memohon maaf kepada keluarga dan rakyat Malaysia. Awang percaya itu juga menyumbang kepada kebangkitan politik beliau. Keberanian Soi Lek berbeza dengan pemimpin pembangkang yang terbabit dalam skandal seks, yang bukan sahaja tidak berani mengaku malah mengheret rakyat dan campur tangan luar untuk menyelamatkan diri.

Persoalannya kini sejauh mana Soi Lek dapat bertahan sebagai Presiden MCA yang masih dibayangi skandal seks dan mampukah beliau menyatukan semula MCA? Kita tunggu dan lihat.
http://mutaligat.blogspot.com/

Tiada ulasan: