"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas akan ambil tindakan terhadap anggota bersifat ‘musang berbulu ayam’

KOTA BAHARU, 12 April: PAS Kelantan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana anggotanya yang bersifat ‘musang berbulu ayam’ membocorkan rahsia dalaman parti itu sehingga sanggup mendedahkan kepada umum.

Timbalan Pesuruhjaya Pas III Kelantan, Datuk Abdullah Amar Nik Abdullah berkata pihaknya akan membuat siasatan teliti dan secara berperingkat bagi menentukan kebenaran dakwaan itu bagi mengelakkan wujud unsur-unsur tidak sihat dalam parti itu.

“Sebelum itu kita akan memastikan kebenaran dakwaan yang ditulis dalam laman blog itu sebelum membuat siasatan di peringkat dalaman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Seminar Etika Pakaian 2010 di sini, hari ini.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar baru-baru ini yang mendedahkan laporan sebuah laman blog yang menyebut ada pemimpin PAS cuba membocorkan rahsia parti ketika bedah siasat selepas pilihan raya umum ke-11 pada 2004, sehingga didedahkan dalam laman blog penulis sensasi Kickdefella.

Mengenai kenyataan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menolak menjadi wakil perunding bagi kerajaan negeri berhubung tuntutan royalti minyak, Mohd Amar berkata:

“Itu terpulang kepada beliau sendiri dan Tengku Razaleigh mungkin menjelaskan kekeliruan yang timbul berhubung isu kesediaannya sebelum itu,” katanya.

Katanya kerajaan negeri bersetuju melantik bekas Pengerusi Petronas itu mewakili Kelantan dalam rundingan itu walaupun kerajaan pusat sudah memutuskan untuk tidak membayar royalti minyak kepada Kelantan.

“Soal surat tawaran sama ada dihantar atau tidak kepada Tengku Razaleigh saya tidak tahu, kerana ia urusan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa.

-Bernama-

Tiada ulasan: