"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penerbit: RTM gugurkan lagi dokumentari pro-rakyat

Kurang seminggu selepas sebuah dokumentari menerusi slot, 'Galeri Mandarin Nasional' digugurkan, RTM kali ini menolak sebuah lagi dokumentari.

Dokumentari itu memaparkan bantahan penduduk di Rawang berhubung pembinaan menara bervoltan tinggi di kampung baru mereka oleh Tenaga Nasional Berhad.

Siri dokumentari untuk 'Galeri Mandarin Nasional' itu adalah hasil usaha penerbit, Chin Hueyi dan wartawan Tan Ean Nee dengan Chou Z Lam sebagai penerbit bersama. Chou adalah penerbit siri 'Empangan Bakun' yang digugurkan dari ke udara oleh RTM pada 28 April lalu.

'Galeri Mandarin Nasional' ke udara selama 10 minit bermula jam 12.20pm dari Isnin hingga Jumaat, selepas siaran berita tengahari dalam bahasa Mandarin.

Dua episod siri 'Empangan Bakun' itu ke udara pada 26 dan 27 April lalu tetapi episod seterusnya yang dijadualkan pada 7 Mei lalu digugurkan.

Chou mendakwa RTM bertindak demikian kerana gusar ia akan mempengaruhi rakyat dan akan memberi kesan pada pilihan raya kecil Sibu, Ahad ini. RTM sebaliknya menafikan perkara itu dan mendakwa Chou berdegil tidak mahu membuat suntingan ke atas dokumentarinya yang tidak seimbang.

Dokumentari siri 'Rawang' itu mempunyai lima episod sepanjang sepuluh minit setiap satu dan dijadualkan mula ditayangkan semalam. Bagaimanapun menurut Chou, siaran berita bahasa Mandarin dilanjutkan bagi menggantikan slot sepuluh minit 'Galeri Mandarin Nasional'.

Dalam blognya, Chou mendakwa siri 'Rawang' itu digugurkan tanpa sebarang notis mahupun penjelasan.

“Saya gesa mereka yang memalukan kerjaya kewartawanan untuk meletakkan jawatan mereka di RTM dan memohon maaf kepada penonton RTM dan juga kepada mereka yang telah menghabiskan masa dan usaha mereka dalam penerbitan siri dokumentari 'Rawang' dan 'Empangan Bakun',” katanya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: