"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pilihan Raya Kecil Kehangatan PRK Sibu, kemenangan Pakatan Rakyat

Wan Nik Wan Yussof

Parlimen P.212 Sibu terletak agak pedalaman Sarawak berbanding Kuching atau Miri. Ia meibatkan tiga dewangan undangan negeri iaitu N.47 Bawang Assan, N.48 Pelawan dan N.49 Nangka. Sementara geografinya adalah satu kawasan dengan sifat relifnya beralun direntasi Sungai Rejang dan cabangnya Sungai Igan. Berada dalam Bahagian Sibu, dengan Mukah terletak di sebelah utara, Sarikei di selatan manakala Kapit di sebelah timurnya.Ia satu kawasan pembalakan yang penting menjadikan Bandar Sibu sebagai pusat perniagaan balak dan pertumbuhan ekonomi perniagaan.

Atas faktor geografi dan ekonomi perniagaan, Sibu merupakan pusat penempatan penduduk Cina terbesar, khususnya suku Foochow.

Parlimen Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar, yang terdiri daripada 52,158 pengundi biasa dan 2,537 undi pos, merangkumi 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.

Menurut senarai pemilih yang dikemas kini sehingga 9 April lepas, pengundi dari kaum Cina adalah hampir 67 peratus daripada jumlah pengundi, diikuti Melayu/Melanau (10.5 peratus) dan bumiputera Sarawak (22 peratus). Lihat jadual 1 dan Jadual 2 berikut.

Jadual 1: P.212 Sibu: Pecahan kaum

Jumlah 54,695 [Cina 67.00% (36,646), Melanau 11.00% (6,016), Bumiputera 22.00% (12,033)]

Jadual 2: P.212 Sibu: Pecahan jenis

Jumlah 54,695 [Biasa 67.00% (52,158), Tentera 11.00% (1,910), Polis 22.00% (2,627)]

Sebanyak 45 pusat mengundi dengan 110 saluran akan dibuka di 39 buah sekolah, dua tadika dan masing-masing satu pusat latihan, rumah panjang, perpustakaan awam dan pusat rekreasi awam bagi proses mengundi,

Pilihan raya kecil 2010

Berikutan kematian Robert Lau Hoi Chew pada , maka berlaku kekosongan kerusi parlimen Sibu. Justeru itu, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan 8 Mei hari penamaan calon dan 16 Mei hari mengundi.

Hari ini (8 Mei) telah berlaku proses penamaan calon yang diadakan di Dewan Suarah, Sibu. Calon Pakatan Rakyat diwakili Parti Tindakan Demokratik (DAP) adalah pertama menyerahkan borang pada jam 9.03 pagi diikuti calon Barisan Nasional diwakili Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan bebas. Tiada ada apa-apa bantahan dibuat dalam tempoh sejam dari pukul 10 hingga 11 pagi.

Pada jam 11.25 pagi pihak Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi pilihan raya kecil P.212 Sibu, Wong Seng Meng mengumumkan pencalonan yang sah seramai tiga orang menjadikan pilihan raya kecil Sibu adalah pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Robert Lau Hui Yew dari SUPP, Pakatan Rakyat Wong Ho Leng dari DAP dan Bebas Narawi Haron.

Pilihan raya umum 2008

Dalam Pilihan Raya Umum 2008, mendiang Robert Lau Hoi Chew mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,549 undi, menewaskan pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng dan Lim Chun Chuang dari KeADILan. Keputusan penuh pilihan raya umum lalu itu seperti mana Jadual 3 berikut.

Jadual 3: P.212 Sibu: Keputusan Pilihan Raya Umum 2008

Pengundi 53,679 [BN 53.38% (19,138), DAP 44.36% (15,903), KeADILan 2.26% (812)]

Undi Sah 35,853, Peratus Undian 66.79%

Mungkin keupayaan Barisan Nasional menang itu disebabkan berlaku pertandingan tiga penjuru yang menyebabkan kurang simpati kepada DAP. Hal itu tidak berlaku lagi pada pilihan raya kecil ini.

Peluang menang

Berikutan persefahaman dalam Pakatan Rakyat, berlakulah kesepakatan jitu dalam menghadapi Barisan Nasional. Kali ini Wong (DAP) bertanding semula, sementara Lim (KeADILan) tidak bertanding. Persefahaman dan persetujuan Pakatan Rakyat ini penting dalam memastikan calon DAP menang. Apakah dengan strategi ini menjamin kemenangan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional akan kecundang kepada calon DAP dan calon Bebas sebagai calon ketiga akan hilang wang pertaruhan? Kesemuanya bergantung kepada beberapa faktor yang melingkungi keputusan pengundi nanti.

Antara faktor terpenting adalah mood pengundian yang baru berlaku semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor 25 April lalu. Paling ketara mood itu ialah penolakan majoriti pengundi Cina terhadap Barisan Nasional dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib. Namun, berlaku pula penerima akan tipis (marginal) gelintiran pengundi Melayu dan India kepada Barisan Nasional. Justeru itu, sokongan kepada Pakatan Rakyat di Hulu Selangor tidak merosot malah bertambah 95 undi. Sementara Barisan Nasional pula mendapat tambahan yang lebih besar iaitu 2,018 undi.

Sehubungan itu, faktor mood pengundi Cina seperti mana di Hulu Selangor adalah ancaman kepada Barisan Nasional. Meskipun sekarang ini, berlaku promosi kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib dengan slogan keadilan masyarakat melalui 1Malaysia dan pemulihan ekonomi melalui Model Ekonomi Baru, hakikatnya ia tidak menyentuh minat pengundi Cina. Apakah mood pengundi Cina Hulu Selangor ada di Sibu.

Melihat hakikat itu, wajar diperhatikan dari pengalaman pilihan raya umum lalu, bahawa sokongan sokongan mengikut kaumnya adalah pengundi Cina dianggarkan kira-kira 35 peratus kepada Barisan Nasional, 30 peratus kepada DAP, dan 35 peratus lagi tidak mengundi. Sementara pengundi Melanau dan Bumiputera (Iban, Bidayuh dan lain-lain) didapati pihak Barisan Nasional mempunyai kelebihan dan akses lebih rapat berbanding DAP. Justeru itu, Barisan Nasional mencapai kemenangan. Maka atas faktor perkauman pengundi Barisan Nasional mempunyai peluang cerah untuk menang.

Ia diakui sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang menganggapkan pengundi Cina sebagai undi penentu kerana pengundi Cina adalah majoriti bagi parlimen ini. Tetapi pengalaman pilihan raya umum lalu, termasuk pilihan raya negeri Sarawak ternyata sokogan pengundi Cina kian merosot kepada Barisan Nasional. Sebagai mana kenyataan Pengerusi SUPP Sibu, Datuk Seri Wong Soon Koh yang mengakui kekalahan mengejutkan pada pilihan raya negeri 2006 di dewan undangan negeri sekitar Bandar Kuching ada hubungannya dengan kemerosotan sokongan pengundi Cina.

Atas kemerosotan itu, SUPP telah mula mengasuh lebih banyak anggotanya yang muda dan berpendidikan tinggi untuk menjadi calon dengan mendedahkan mereka kepada persekitaran politik, seperti memainkan peranan sebagai anggota majlis perbandaran dan sebagainya. Maka pilihan raya kecil kali ini adalah ujian bagi Barisan Nasional untuk mengukur sejauh mana proses pemulihan itu telah diterima baik oleh rakyat.

Strategi kempen memikat pengundi Cina

Sejauh mana keputusan pilihan raya kecil di Hulu Selangor mempengaruhi pilihan raya kecil Sibu pada 16 Mei adalah titik pemikiran strategik bagi kempen Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Mood pengundi Cina di Sibu perlu dilihat secara terperinci dan lunak. Mungkin pengundi Cina di Sibu harus dilihat lebih terperinci kerana calon bagi kedua-duanya adalah dari kaum CIna. Ia cukup berbeza dengan Hulu Selangor. Justeru itu, factor calon sedikit sebanyak boleh mencorakkan pola sokongan. Kalau dahulunya, faktor pengaruh calon dilihat menyebelahi Barisan Nasional, apabila keutuhan mediang Lau cukup ampuh mengatasi calon DAP, Wong dan calon KeADILan, Lim.

Justeru itu, Barisan Nasional kali ini masih melihat pengaruh kerabat mediang Lau akan memukau undi kepada calonnya kini, Lau Hui Yew. Hal ini memaksa Barisan Nasional mencalonkan calon dari kerabat mediang Lau Hoi Chew. Maka, faktor calon masih menarik diteliti di dalam merangka strategi kempen dengan tidak mengabaikan juga aspek kesejahteraan kepada pengundi Melanau, Iban dan Bumiputera lain.

Ujian sebenar Pakatan Rakyat

Apa pun, bagi Pakatan Rakyat bukan sekadar untuk membuktikan perjuangannya diterima oleh kelompok pengundi Cina, lebih penting lagi ialah untuk membuktikan sokongan memuncak masyarakat Bumiputera Sarawak. Ini kerana teras kepada perubahan politik dan persekitaran sosial Sarawak adalah komitmen Pakatan Rakyat memperjuangkan nasib dan pembangunan masa depan masyarakat Bumiputera.

Pelebaran seruan perjuangan Pakatan Rakyat harus berlaku di merata ke segenap pelusuk pinggir dan pedalaman Sarawak. Hakikatnya, dari pilihan raya kecil Sibu adalah titik bergerak bersama arus Sungai Rajang ke arah menyantuni mood perubahan semua masyarakat Sarawak. Semoga tarikh 16 Mei bakal menyaksikan suatu keputusan yang berbeza dengan Hulu Selangor.

Wan Nik Wan Yussof

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan

Tiada ulasan: