"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jenayah rogol dan penyelesaiannya

1.Jenayah rogol, rogol dan bunuh serta rogol kanak-kanak mutaakhir ini semakin meningkat dan membimbangkan. Rakyat khasnya para wanita dan kanak-kanak kini tidak selamat menjalani kehidupan seharian. Bila-bila masa maruah dan nyawa mereka akan diragut kejam oleh penjenayah yang bebas bermaharajalela.

2.Faktor pendorong kepada berlakunya jenayah seksual ini terlalu banyak dan tidak ada gunanya kita saling salah menyalahkan antara satu sama lain bahkan semua pihak mestilah mengambil tanggungjawab untuk mendepani musibah atau malapetaka yang menimpa negara ini.

3.Cuma saya sangat terkilan dengan sikap sebahagian dari kalangan masyarakat kita termasuk cerdik pandai dan pihak berkuasa seperti mahu memejamkan mata terhadap syariat Islam tatkala membincangkan jalan penyelesaian terhadap isu ini.

4. Saya lihat semua orang setuju penjenayah dihukum seberat-beratnya, semua orang setuju supaya jenayah ini dibendung segera dan semua orang setuju bahawa mangsa mesti dibela sewajarnya, tetapi malang 1001 kali malang, hampir tiada yang melihat bahawa penyelesaiannya ada pada Islam agama yang diwahyukan oleh Allah swt .

5.Semua jenayah yang semakin meningkat indeksnya adalah berlaku dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran yang berpaksikan kepada peraturan dan undang - undang ciptaan manusia sejak sekian lama. Ternyata sistem yang ada sekarang biarpun seberat mana hukuman itu dijatuhkan gagal membendung penularan jenayah kejam ini. [Hukuman mati mandatori keatas pengedar dadah sebagai contoh, bukan sahaja tidak mampu membendung pengedar dadah malah empayarnya semakin berkembang dan dadah semakin mudah untuk diperolehi].

6.Kenapa tidak memberi peluang kepada Islam? Islam sebagai agama dan cara hidup yang diwahyukan oleh Allah swt kepada nabi Muhammad saw adalah agama dan syariat yang pernah membuktikan keupayaannya membendung maksiat dan mungkar dalam sejarah pemerintahan dan pentadbirannya.

7.Islam mempunyai pakej lengkap untuk menyelesaikan isu jenayah kejam yang melanda negara hari ini. Bermula dari pendidikan, pencegahan, kawalan dan hukuman serta pembelaan dan pendakwaan. Apa yang perlu sekarang ialah negara mesti memberi peluang kepada Islam untuk membuktikan keupayaan dan keberkesanan perlaksanaannya.

8.Hukuman berkesan tidak hanya dilihat kepada beratnya hukuman tersebut kerana hukuman berat hanya mampu menyakitkan tubuh dan mendera fizikal, sedang apa yang penting dalam usaha membendung jenayah ialah keinsafan, penyesalan dan kesedaran agar jenayah itu tidak berulang dan berkembang. Bertolak dari sini lah Islam menawarkan pakej lengkap dan berkesan [merangkumi fizikal, mental dan spiritual] untuk tujuan membendung dan menghapuskan jenayah.

9.Justeru itu, sewaktu membincangkan penyelesaian terhadap isu seperti ini, janganlah ianya dibuat dengan mengambil pandangan atau interview orang ramai secara rambang lantaran isu ini mestilah melibatkan kajian dan penelitian orang-orang yang berilmu. Para alim ulama' yang berkaliber mestilah dilibatkan secara serius dan aktif untuk mengkaji dan menggubal peraturan berasaskan syara'.

10.Janganlah prejudis terhadap Islam dan syariatnya. Mengapa perlu terpengaruh dan terpedaya dengan propaganda barat. Kenapa masih mahu bertahan setelah lebih 50 tahun menyaksikan kegagalan undang-undang ciptaan manusia membendung jenayah ini? Sementara undang-undang Islam kaya dengan hikmah [kebijaksanaan] dan apa yang lebih penting ialah rahmat [kasih sayang] dan berkat [kebaikan yang melimpah ruah]. Keadilan Islam adil untuk semua dan ia menyinari semua. [termasuk pesalah, mangsa, keluarga, masyarakat dan negara].

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Tiada ulasan: