"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mesir: Bunyi tembakan di sekitar Medah Tahrir

KAHERAH: Bunyi berbalas tembakan kedengaran di sekitar Medan Tahrir di sini kira-kira jam 5 pagi tadi (10 pagi waktu Malaysia), dipercayai berpunca daripada pertempuran antara kumpulan penyokong Presiden Husni Mubarak dengan penentangnya.
Bunyi itu dapat didengari dari Hotel Grand Hyatt yang menjadi tempat penginapan rombongan pemberita dari kumpulan Media Prima Berhad (MPB) yang terletak kira-kira dua kilometer dari medan terbabit.

Selain tembakan, kereta kebal dan ambulans juga kelihatan melalui Jambatan Kasr Nil berhampiran Medan Tahrir.
Rombongan pemberita MPB terpaksa 'berkampung' di Hotel Grand Hyatt selepas dinasihatkan supaya tidak keluar daripada hotel selepas waktu perintah berkurung yang bermula daripada jam 5 petang hingga 8 pagi setiap hari.

Suasana ini jauh berbeza dengan keadaan dalam perjalanan kami dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah ke Hotel Grand Hyatt, semalam yang mana demonstrasi kedua-dua kumpulan itu agak terkawal.

Bagaimanapun, sudah nampak bibit-bibit kekecohan apabila kumpulan penyokong Husni memberhentikan kenderaan di Lebuh Raya Bertingkat 6 Oktober untuk menunjukkan tanda sokongan mereka kepada presiden.

Pemandu pelancong, Syaaban Abdullah, menasihatkan kami untuk tidak mengambil gambar kumpulan penyokong Husni kerana mereka menganggap ia menjadi publisiti yang buruk oleh pemberita asing.
Kenderaan kami terpaksa melalui jalan yang lebih jauh kerana perjalanan ke hotel itu terpaksa melalui Medan Tahrir yang tidak mungkin untuk dilalui.

Ini kerana kesesakan luar biasa berlaku di Lebuh Raya Bertingkat 6 Oktober apabila orang ramai mahu pulang sebelum waktu perintah berkurung, manakala sebahagian lagi mahu menyertai demonstrasi di Medan Tahrir.

Keadaan itu turut memaksa Syaaban memberhentikan van kira-kira lima kilometer dari Hotel Grand Hyatt dan meminta tips tambahan meskipun pada awalnya beliau hanya mengenakan bayaran AS$200.

Hotel Grand Hyatt turut mengenakan langkah keselamatan yang ketat termasuk menutup logo hotel di pintu masuknya dengan beg plastik hitam.

"Kami tidak mahu menarik perhatian daripada orang yang tidak sepatutnya khususnya pencuri ketika tempoh perintah berkurung dilaksanakan kerana polis dan tentera tidak lagi berkawal sepenuhnya," kata pegawai keselamatan yang tidak mahu mendedahkan namanya.

Antara langkah keselamatan yang dilaksanakan adalah menutup pintu kaca dengan papan dan meletakkan meja banquet di pintu hadapan, manakala beg pula terpaksa melepasi pemeriksaan ketat.

Proses pendaftaran bilik turut mengambil masa sehingga tiga jam kerana kekurangan kakitangan hotel berikutan mereka tidak dibenarkan bekerja sepanjang tempoh perintah berkurung itu.
-bharian-

Tiada ulasan: