JELI: Seorang warga emas berdepan saat getir apabila terpaksa bergelut hampir setengah jam dengan seekor babi hutan yang menyerangnya ketika membersihkan kebun buahnya di Kampung Gemang, dekat sini, Isnin lalu.
Kejadian jam 11 pagi itu menyebabkan lengan kiri mangsa, Bunga Musa, 70, terkoyak selain kaki kirinya menerima lima jahitan.
Mangsa masih menerima rawatan di Hospital Jeli selepas dipindahkan dari Hospital Tanah Merah, kelmarin.
Menceritakan kejadian itu, Bunga berkata, dia tidak keluar menoreh pada hari berkenaan seperti kebiasaannya kerana ingin mengambil buah limau madu di kebunnya.
“Saya berjalan ke kebun itu pada jam 8 pagi sambil membawa parang kerana teringin mengambil buah limau madu untuk dinikmati bersama keluarga.
“Ketika itu, langsung tidak terlintas di fikiran saya mengenai risiko diserang haiwan liar,” katanya.
Bunga berkata, dia sempat mengambil limau madu itu sebelum bergerak sambil membersihkan kawasan tepi sungai yang dipenuhi semak.
Katanya, ketika menebas semak, tiba-tiba seekor babi hutan muncul dan menyerangnya dari arah hadapan.
“Saya yang tergamam tidak mampu berbuat apa-apa hanya berserah kepada Tuhan.
“Haiwan itu menggigit saya yang sudah rebah menyebabkan seluruh badan cedera dan lebam,” katanya.
Katanya, dia bergelut hampir setengah jam sebelum dilepaskan haiwan berkenaan.
“Dalam keadaan lemah, saya berjalan keluar untuk mendapatkan bantuan jiran sebelum dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan,” katanya.
Bunga bagaimanapun berkata, kejadian serangan itu tidak membuatkan dia trauma untuk kembali ke kebunnya.
-hmetro-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan