"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tidak Wajar Libatkan Anwar Dengan Pengganas- Pensyarah


SHAH ALAM, 3 FEB: Dakwaan kerajaan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim terbabit dalam aktiviti penganas dilihat tidak wajar oleh Pensyarah Kanan Jabatan Media Fakulti Sains Sosial Universiti Malaya.

Menurut Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah apa-apa dakwaan dan tohmahan terhadap mana-mana tokoh politik tidak patut berlandaskan kepada pandangan peribadi oleh mana-mana pihak tetapi perlu menuruti proses intelektual bagi membuktikan dakwaan tersebut.

Beliau berkata demikian bagi membidas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang mengarahkan polis menyiasat tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa Ketua Pembangkang itu kononnya terbabit dengan aktiviti penganas.

"Apa yang kita harus lihat sekarang ini ialah apabila sahaja melibatkan isu politik, apabila melibatkan tokoh-tokoh politik, kita tidak hanya boleh bersandarkan kepada pandangan peribadi mana-mana pihak. 

"Ia tidak boleh berpandangan kepada tohmahan-tohmahan, ia haruslah melibatkan satu proses intelektual yang panjang, proses perdebatan, proses perbahasan, kerana tidak kira samada dia pemimpin kerajaan atau pemimpin pembangkang, dia adalah warganegara Malaysia dan melibatkan kepentingan seluruh rakyat Malaysia," jelas beliau.

Beliau yang juga Pengerusi Zentrum Future Studies Malaysia (Zentrum) berkata, masyarakat majmuk negara ini memerhatikan setiap tindakan kerajaan samada ia rasional atau tidak. 

Katanya lagi, tuduhan dan siasatan tidak sepatutnya dimulakan hanya kerana permusuhan politik.

"Rakyat menuntut apapun yang berlaku ke atas seseorang ahli politik itu mestilah diperjelaskan secara intelektual, secara bukti-bukti yang sangat akademik, yang sangat benar dan jujur yang tidak melibatkan prasangka hanya kerana pertelingkahan kuasa politik," kata beliau lagi.

Menurut beliau, kerajaan perlulah menyiasat dengan terperinci dan memperjelas perkara ini kepada rakyat bagi mengelakkan perbalahan di kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

"Setiap individu di sesebuah negara itu tidak kira dia sebagai seorang ahli akademik atau sebagai seorang ahli politik mesti dilindungi oleh negaranya. Kita tidak boleh mengatakan bahawa setiap orang ataupun pemimpin politik itu dengan masalah-masalah. Yang penting kita harus memperjelaskan kepada masyarakat perkara yang sebenar secara jujur kerana tuduhan fitnah prasangka dan sebagainya tidak akan menyelamatkan mana-mana negara sekalipun," katanya lagi.

Dr Abu Hassan seterusnya menjelaskan dakwaan terhadap Anwar hanya perselisihan politik dan bukannya satu fakta yang boleh dibuktikan, maka rakyat jelata perlulah diberi maklumat yang secukupnya bagi mengelakkan ketegangan.

"Kita tidak mahu satu hari nanti masyarakat kita berhadapan dengan perkara-perkara yang sama yang sebabkan kita semakin hari semakin bersengketa sesama sendiri kerana tujuan kita yang sebenarnya dalam politik ialah membangunkan masyarakat yang seramai 26 juta ini bukan kelompok yang mana-mana," jelasnya.
-tvsnews-

Tiada ulasan: