"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Facebook: Lebih 200,000 mahu Najib letak jawatan

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 18 Julai: Kumpulan rakyat yang majoritinya "majoriti senyap" terus menyatakan pendirian mereka mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.
Desakan dizahirkan mereka pada laman peminat Facebook yang bertajuk ‘100,000 Rakyat meminta Najib Tun Razak meletak jawatan’ (100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation) yang kini sudah mencecah 202,020 peminat sehingga jam 2.07 petang tadi.

Ketika Harakahdaily membuat liputan perkara ini Julai 11 yang lalu, jumlah peminat telah pun mencecah angka 119,000.

Angka peminat Facebook terus meningkat apabila kerajaan Barisan Nasional meneruskan tindakan mereka memperlekehkan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Selepas seminggu, hari ini peminat telah meningkat lebih daripada 80,000 kepada angka 202,020 seperti yang tertera di gambar.

Peminat Facebook yang terdiri daripada rakyat pelbagai kaum dan agama, menulis komen menyeru Najib untuk meletak jawatan ekoran tindakan tidak bertamadun polis dan kerajaan Barisan Nasional dalam menangani perhimpunan aman rakyat itu.

Antara komen itu berbunyi :

Ampun Tuanku Beribu-ribu Ampun,
Sembah Patik Harap DiAmpun,
Khabar Buruk Patik Sembahkan,
Harap Diteliti Dimurka Jangan.

Perdana Menteri menjadi kebencian,
Pasukan Diraja menjadi cacian,
Rakyat mahukan keharmonian dan keadilan,
Mohon Tuanku Terajui Pemerintahan.

Seorang lagi peminat pula berkata tujuan beliau menyokong laman Facebook tersebut adalah untuk memberitahu Najib bahawa rakyat yang tidak dapat menyertai perhimpunan aman Bersih 2.0 bukan bermaksud mereka tidak menyokong agenda yang dibawa Bersih 2.0.

“Beliau (Najib) berkata ramai rakyat tidak menyertai Bersih 2.0 kerana mereka tidak menghiraukan Bersih 2.0. Sini untuk bagi tahu beliau, tak menyertai tidak bermaksud tidak menyokong,” tulis beliau.

Disebabkan populariti laman tersebut, ramai peminat juga mewujudkan laman-laman lain untuk menuntut perletakan jawatan pemimpin Barisan Nasional yang lain yang lantang mengutuk perhimpunan Bersih 2.0.

Di antaranya ialah laman peminat menuntuk perletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein dan juga Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang kesemuanya mengkritik Bersih 2.0 di samping membela polis yang menggunakan kekerasan melampau terhadap para peserta himpunan.

Namun begitu, ketiga-tiga laman tersebut hambar sambutannya jika dibandingkan dengan laman menuntut perletakan jawatan Najib.

Yang paling tinggi hanyalah laman menuntut perletakan jawatan Hishamuddin, itupun hanya dapat mencapai 8 peratus atau 16,244 peminat saja daripada apa yang diterima oleh sepupunya.

Sementara itu, ada pihak yang menamakan dirinya Patriot telah membuka satu laman Facebook menyokong Najib untuk melawan popularati Facebook mendesak peletakan jawatan Najib..

Akan tetapi, sambutannya amat hambar, dengan setakat ini hanya mendapat 9,590 peminat atau 5 peratus sahaja daripada lawan mereka.

Tiada ulasan: