"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kawalan ketat 24 jam ke atas warga Israel

Harapandaily

Kawalan 24 jam telah diperketatkan untuk suspek warga Israel oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia bertujuan untuk mengelakkan kejadian di luar kawalan seperti cubaan membunuh atau mencederakan diri oleh suspek yang berumur 36 tahun tersebut.

“Apabila dia ditahan pada Rabu lalu, suspek sudah mengetahui bahawa sebarang perancangan atau misi telah gagal dan dia sendiri mengetahui tentang risiko dihadapinya sekiranya kembali ke negara asal (Israel).

“Maka semasa ditahan kita tidak menolak kemungkinan suspek ini sanggup mengambil apa juga risiko termasuk membunuh diri atau mencederakan dirinya sendiri dengan apa juga keadaan,” kata sumber, lapor Sinar Harian.

“Pada masa ini suspek ditempatkan dalam kawalan ketat Polis Kontinjen Kuala Lumpur namun lokasinya tidak dapat didedahkan.

Risiko tinggi

“Berbanding dengan tahanan kes jenayah lain, suspek dikategorikan sebagai berisiko tinggi dan ada pegawai dan anggota yang mengawalnya setiap 24 jam,” katanya.

Katanya, kawalan ketat PDRM akan dapat dilihat apabila suspek dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan kebenaran sambung reman atau sebutan kes.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan penahanan suspek warga Israel itu di sebuah hotel di Jalan Ampang pada Rabu lalu. Mereka turut menemui enam pucuk pistol termasuk SIG Sauer, Smith dan Wesson serta Glock selain 200 butir peluru.

Turut dijumpai, dua pasport dimiliki lelaki berkenaan iaitu pasport Perancis yang digunakannya untuk masuk ke Malaysia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu serta satu pasport Israel.

Melalui soal siasat, suspek mendakwa datang ke negara ini untuk mencari seorang individu yang juga rakyat negaranya untuk dibunuh kononnya berkaitan isu keluarga, lapor media Israel.

Semalam, media melaporkan sepasang suami isteri diberkas polis di bazar Ramadan dekat Kuala Selangor pada Jumaat dipercayai membeli senjata api di Thailand sebelum menjualnya kepada suspek.

Dua suspek masing-masing berumur 42 dan 40 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota JSJ Bukit Aman di bazar Ramadan di Kuala Selangor pada jam 7.15 malam.

Polis turut menemukan sepucuk pistol dalam sebuah beg galas dalam kereta Honda Jazz di kediaman mereka yang terletak di Kuala Selangor.

Tiada ulasan: