"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Shalom Avitan anggota unit pembunuh 'Kidon' Mossad?

BHarianonline 
Gambar pasport Shalom Avitan seperti yang dilaporkan media Israel The Times Of Israel.
Gambar pasport Shalom Avitan seperti yang dilaporkan media Israel The Times Of Israel.
KUALA LUMPUR: Penahanan Shalom Avitan, yang disyaki perisik Israel dalam misi membunuh seseorang di negara ini pada Rabu lalu, mengimbas kembali pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) warga Palestin, Dr Fadi M R Albatsh Fatma, di Setapak, pada 21 April 2018.

Pembunuhan Dr Fadi, 35, yang mendapat liputan meluas berita di Asia Barat dan menjadi kontroversi apabila Ketua Jihad Islam Palestin, Khaled al-Batash, mengeluarkan kenyataan mendakwa pembunuhan itu didalangi serta dirancang Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel iaitu Mossad.

Portal Defence Security Asia (DSA) melaporkan, media Israel yang memetik sumber keselamatan negara Yahudi itu menyatakan Fadi, bukan ahli akademik sembarangan sebaliknya pakar teknologi kepada gerakan pejuang, Hamas, terutama berkaitan pesawat tanpa pemandu atau dron.

Pembunuhan pensyarah Palestin di ibu negara itu menarik perhatian dunia yang mendakwa ia telah dilakukan oleh agensi perisikan Israel, Mossad, yang terkenal dengan misi pembunuhannya terhadap 'musuh-musuh' Israel di seluruh dunia.

DSA melaporkan, misi pembunuhan oleh Mossad biasanya dilakukan satu unit rahsianya dikenali sebagai 'Kidon', dengan tugas utama mereka hanya satu iaitu melaksanakan pembunuhan terhadap sasaran yang telah dikenal pasti oleh agensi perisikan Israel itu.

Katanya, unit 'Kidon' ditubuhkan pada 1970 dan bernaung di bawah Jabatan Caesarea yang berada dalam Mossad itu sendiri, dengan tugas dan fokus utama unit adalah melaksanakan pembunuhan terhadap musuh-musuh Israel di luar negara Yahudi itu.

"Di dalam bahasa Hebrew, Kidon bermaksud 'bayonet' atau benet, setiabu atau sangkur senjata tajam seperti pisau yang dipasangkan pada hujung senapang.

"Jabatan Caesarea adalah cabang paling rahsia di dalam Mossad dan 'Kidon' adalah unit pelaksana yang paling rahsia dalam suatu organisasi yang kewujudannya amat dirahsiakan.

"Mereka yang menganalisis cara pembunuhan didakwa dilakukan unit rahsia dalam Mossad dikenali sebagai 'Kidon' ini kerap menggunakan lelaki bersenjata, bermotosikal dan bom yang dipasang secara dilekatkan pada sisi kenderaan mangsa.

"Taktik atau modus operandi digunakan lelaki bersenjata yang membunuh pensyarah Palestin di Setapak enam tahun lalu itu adalah sama sebagaimana dilakukan oleh anggota unit 'Kidon' Mossad dalam siri-siri pembunuhan mereka di seluruh dunia," memetik laporan portal berkenaan.

Dalam kejadian jam 6 pagi pada 21 April 2018, Dr Fadi dilaporkan maut selepas ditembak lebih 20 das di badan dan kepala ketika sedang berjalan ke Surau Medan Idaman, Setapak, bagi menunaikan solat Subuh.

Menurut saksi kejadian, mangsa dilaporkan tiba-tiba didatangi dua lelaki menunggang sebuah motosikal berkuasa tinggi yang telah melepaskan beberapa das tembakan terhadap pensyarah Palestin itu yang membunuhnya serta-merta.

Ketika Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan berkata, kedua-dua penunggang motosikal itu memiliki ciri-ciri  raut wajah Timur Tengah dan menggunakan pasport dua buah negara di rantau Balkan iaitu Serbia dan Montenegro untuk memasuki Malaysia.

Sebaik sahaja membunuh pensyarah Palestin, kedua-dua operatif terlatih itu didakwa telah menyeberangi sempadan Malaysia-Thai menggunakan lorong tikus, menuju ke negara jiran,Thailand.

Dr Fadi pernah menetap di Jabalia, utara Gaza sebelum berhijrah ke Malaysia pada 2011 dan bekerja sebagai pensyarah di UniKL BMI. Allahyarham adalah jurutera Palestin dan terbabit dalam pergerakan pejuang Hamas.

Kelmarin, PDRM dilaporkan menahan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk senjata api serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini, Rabu lalu.

Lelaki berusia 36 tahun itu dikesan masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata enam senjata api yang ditemui dalam bilik hotel suspek adalah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Dalam pada itu, DSA melaporkan, unit 'Kidon' ditubuhkan tidak lama selepas insiden pembunuhan 11 orang atlet Israel oleh pejuang Palestin ketika Sukan Olimpik di Munich, Jerman pada 1972.

Sebagai tindak balas Israel terhadap insiden itu, Israel telah melancarkan operasi 'Wrath of God' di mana anggota unit 'Kidon' selepas diberikan maklumat oleh anggota Mossad yang lain, telah memburu mereka yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan terhadap atlet Israel pada temasya sukan itu.

"Dalam operasi pembunuhan yang berlaku daripada 1972 hingga 1988, unit 'Kidon' dikatakan bertanggungjawab terhadap 22 insiden pembunuhan terhadap pemimpin dan anggota Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang ketika itu dipimpin oleh Yasser Arafat.

"Sejak 1972, terdapat lebih daripada 100 kes pembunuhan dikaitkan dengan Israel, namun adalah sukar untuk mengaitkannya dengan negara itu, apatah ia tidak pernah mengakuinya secara terbuka atau menafikannya.

"Bilangan sebenar bilangan mereka yang terkorban akibat tindakan kejam oleh unit 'Kidon' itu berkemungkinan besar tidak akan diketahui oleh masyarakat dunia sampai bila-bila dan kekal menjadi rahsia Mossad dan pentadbiran Yahudi, Tel Aviv," kata portal berkenaan.

Tiada ulasan: