Izz Laily Hussein

Badrul Hisham atau Chegubard hadir ke Mahkamah Sesyen hari ini dan didenda RM5,000 atas kesalahan menerbitkan penerbitan menghasut, dua tahun lalu. Foto NSTP
JOHOR BAHRU: Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah menerbitkan penerbitan menghasut, dua tahun lalu.
Hakim Rasidah Roslee menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan di akhir kes pembelaan.
Mahkamah turut memerintahkan Chegubard, 48, dipenjara 20 bulan, jika gagal menjelaskan denda berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan, Chegubard didakwa menerbitkan penerbitan menghasut di media sosial kira-kira jam 6.30 petang, 26 April lalu, iaitu hantaran mengaitkan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua individu didakwa taikun judi dengan projek kasino di Forest City.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman dan Raya Nursyuhada Husna Sulaiman serta dihadiri peguam pemerhati daripada Majlis Peguam Malaysia, Cheong Wen Yie.
Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili tertuduh merayu mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara atas alasan tertuduh adalah pesalah kali pertama.
Muhammad Rafique berkata, anak guamnya juga memberikan kerjasama baik kepada semua pihak sepanjang kesnya berlangsung selama dua tahun, selain dilihat sebagai ‘whistle blower’ kepada kes menggemparkan negara yang membawa kepada siasatan pihak berkuasa.
“Kami memohon mahkamah mengambil kira anak guam kami sebagai aktivis politik dan ahli Parti Wawasan Negara (WAWASAN) iaitu komponen Perikatan Nasional (PN), dia dijangka bertanding mewakili PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak lama lagi.
“Jadi, kami memohon hanya hukuman denda diberi dan jumlah denda bawah RM2,000 bagi membolehkan anak guam kami bertanding PRN,” katanya.
Sementara itu, ketika hujahan pemberatan, Mohd Sabri berkata, tertuduh bukan pesalah muda dan mempunyai pengetahuan undang-undang.
“Kesalahan dibuat tertuduh pada usia 46 tahun, sudah matang untuk hidup harmoni di Malaysia. Tertuduh ada pengetahuan tentang undang-undang, tetapi tetap memilih untuk membuat hantaran berbentuk menghasut.
“Denda semata-mata tidak memadai dalam kes ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan