"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kepimpinan ulama jadi pendinding kelemahan

Perkembangan mesyuarat agung kawasan-kawasan memperlihatkan pencalonan yang pelbagai untuk jawatan Timbalan Presiden PAS. Apa yang terlihat kepada saya ialah kesungguhan hendak menukar Timbalan Presiden parti itu. Bagi jawatan Presiden, walaupun ada kawasan yang mencalonkan calon lain, tetapi saya tak nampak arus.

Namun apa yang melucukan ialah mereka yang hendak mempertahankan Timbalan Presiden yang ada sekarang nampak sangat menggunakan kata-kata seperti "hendak menghancurkan kepimpinan ulama," "PAS sudah nak jadi macam Umno" dan entah apa-apa lagi. Macam Umno juga, mereka menggunakan strategi menakut-nakutkan pihak yang hendak membuat perubahan.

Pihak yang hendak membuat perubahan tentulah takut tak terkira apabila dituduh "hendak menghancurkan kepimpinan ulama" atau "hendak jadikan PAS macam Umno". Kata-kata itu juga boleh menyebabkan pihak lain di dalam PAS menggelekat tak tentu arah. Tak boleh salahkan mereka. Tentulah mereka akan marah kalau ada yang "hendak menghancurkan kepimpinan ulama" atau "hendak jadikan PAS macam Umno" seolah-olah Majlis Syura Ulama hendak dimusnahkan dan Fasal 5 Perlembagaan PAS hendak dibunuh.

Bagus juga strategi menakut-nakutkan itu. Sekali imbas nampak berkesan.

Kali ni saya tidak hanya melaporkan. Saya tumpang sekaki dalam laporan saya. Sebab saya teringin juga nak tengok sejauh manakah berkesannya strategi menakut-nakutkan itu - dengan menggunakan ayat-ayat power seperti "hendak menghancurkan kepimpinan ulama" atau "hendak jadikan PAS macam Umno".

Bolehkah jampi serapah yang nampak sangat gelabah itu menjadi pendinding atau kubu kuat yang melindungi kelemahan below the standard performance atau yang Orang Putih selaku kata underperformance.

Tiada ulasan: