Azamin Amin | |
KUALA LUMPUR, 20 April (Hrkh) - "Bukan sahaja ini akan meletakkan 'precedent' yang salah di mana kuasa institusi legislatif telah dicerobohi oleh kuasa Eksekutif , malah ia telah melanggar segala peraturan yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Negeri Perak berkaitan dengan perjalanan DUN." |
Demikian reaksi Teras Pengupayaan Melayu (Teras) berhubung kenyataan Setiausaha Kerajaan (SUK) Perak, Dato' Dr Abdul Rahman yang menafikan kuasa Speaker yang sah iaitu V.Sivakumar untuk menolak notis persidangan Dewan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Undangan Negeri Perak.
Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid merasa kecewa terhadap krisis perlembagaan di Perak kini masih berterusan dengan campurtangan SUK Negeri untuk kali yang kedua melakukan tindakan yang menyalahi bidang kuasanya.
"Tindakan SUK Negeri yang sebelum ini mengunci dan mengarah polis untuk bertindak dengan menghalang ahli undangan negeri dari memasuki bangunan SUK bagi meneruskan sidang dewan adalah suatu yang sangat memalukan dan tidak bertamadun.
"Insiden ahli dewan undangan negeri Perak yang terpaksa mengadakan persidangan di bawah sepohon pokok telah memalukan imej negara di kacamata masyarakat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.
Beliau mempersoalkan niat sebenarnya SUK itu Perak untuk terus bertindak secara tidak menghormati perlembagaan dan tidak mempedulikan doktrin pemisahan kuasa antara legislatif dan Eksekutif, yang menjadi prinsip demokrasi di negara ini.
Teras merasa sangat kecewa dengan gelagat SUK yang nampak jelas bertindak secara sangat berat sebelah dan tidak menghormati kuasa Speaker yang maseh sah di sisi undang-undang.
"Alasan Sivakumar selaku Speaker Dewan untuk terus mempertahankan kuasanya adalah wajar.
"Beliau berhak menentukan perjalanan sidang dewan undangan negeri berjalan mengikut peraturan sepertimana yang ditetapkan oleh perlembagaan negeri.Pihak SUK tidak boleh mempermainkan hak dan bidangkuasa Speaker," kata Azmi.
Katanya, dengan mengarah Setiausaha DUN untuk mengeluarkan notis persidangan DUN tanpa pengetahuan dan persetujuan Speaker membawa implikasi bahawa suatu penghinaan terhadap institusi DUN telah dilakukan oleh SUK.
Teras katanya, mendesak agar pihak SUK tidak berperanan sebagai alat kepada pihak tertentu yang gelojoh untuk merampas kuasa secara tidak bermoral di negeri Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan