"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar: Kerajaan Najib Condong Pemerintahan Kuku Besi


   

Tindakan polis menahan 126 orang, termasuk aktivis dan pemimpin parti pembangkang sejak awal bulan ini menunjukkan kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak  semakin condong ke pemerintahan kuku besi.  

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penggunaan kekerasan oleh polis bagi menyuraikan beberapa siri perhimpunan aman, majlis menyala lilin malah program tayangan video, hanya menyerlahkan Najib sebagai pemimpin yang  bingkas menutup ruang demokrasi.  

Bercakap kepada 5,000 pengundi Penanti di Berapit, Pulau Pinang, Anwar membidas tindakan polis menyerbu ibu pejabat DAP di Petaling Jaya malam tadi.

Beliau berkata serbuan itu jelas mencerminkan rasa khuatir Barisan Nasional terhadap penampilan Pakatan Rakyat sebagai gagasan yang mampu mengambil alih pentadbiran negara.

Anwar berkata polis menyerbu ibu pejabat DAP semata-mata kerana parti itu ahli komponen Pakatan Rakyat.

“Itu sahaja jenayah DAP… kerana parti itu ahli Pakatan Rakyat,” kata Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.

Ini kali pertama ibu pejabat DAP diserbu polis dalam sejarah 42 tahun parti pembangkang itu.

Serbuan berkenaan dikaitkan dengan siasatan polis terhadap 16 aktivis yang di tahan di Ampang, Kuala Lumpur. Khamis lalu kerana mengadakan perhimpunan aman bagi membantah rampasan kuasa oleh Barisan Nasional di Perak.

Anwar berkata penahanan orang awam, peguam, aktivis dan ahli politik sejak beberapa minggu lalu menguatkan hakikat bahawa Najib menggunakan kekerasan untuk menekan mana-mana pihak yang mengkritik beliau.

"Najib menggunakan cara-cara yang begitu kasar….kenapa dia harus berbuat demikian, Adakah kerana dia sembunyikan sesuatu maka dia bertindak sebegini,” kata Anwar.

Anwar berkata Malaysia harus ditadbir mengikut “peraturan undang-undang. dan bukan undang-undang rimba UMNO."

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut membidas serbuan oleh polis Selangor itu atas ibu pejabat parti dan berkata pihak keselamatan sepatutnya memberi tumpuan kepada membanteras jenayah yang semakin meningkat di negeri itu.

“Kami tidak mencuri atau membunuh sesiapa dengan bahan letupan C4. Kami hanya menggunakan hak kami untuk menyuarakan keperluan memulihkan demokrasi di  Perak,” kata Guan Eng.

Guan Eng, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang memberi amaran kepada kerajaan persekutuan BN bahawa DAP, Pakatan rakyat dan orang ramai tidak gusar dengan tekanan polis.

“Kami tidak akan berkompromi dengan perjuangan untuk memulihkan demokrasi di Perak menerusi pilihanraya negeri, ”  kata Guan Eng. 

Anwar menggesa pengundi Penanti untuk memberikan Parti Keadilan Rakyat kemenangan besar pada 31 Mei untuk menghantar mesej jelas bahawa rakyat menolak politik kuku besi Najib.

Pilihanraya kecil itu menyaksikan calon PKR candidate Mansor Othman dicabar oleh calon bebas Nai Khan Ari Nai Keow, Aminah Abdullah and Kamarul Ramizu Idris.

Barisan Nasional pimpinan Najib mengambil keputusan bersejarah tidak bertanding di Penanti, setelah parti itu kalah pada keempat-empat pilihanraya kecil semenjak pilihanraya umum Mac tahun lalu.

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: