"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kehadiran golongan profesional mantapkan PAS

Zuharman MN  

BERA, 25 Mei (Hrkh) - Kehadiran pelbagai golongan dalam PAS yang menawarkan diri untuk berkhidmat pada pemilihan sempena muktamar PAS ke-55 bermula 5 Jun ini diharap dapat memantapkan lagi struktur parti.

Yang Dipertua PAS Bera, Sulaiman Mohamad berkata, perwakilan berhak memilih pemimpin dari pelbagai latar belakang pendidikan untuk mengisi jawatan utama di peringkat pusat.

"Kehadiran golongan profesional berganding bahu bersama ulama tidak akan menggugatkan struktur organisasi parti, bahkan ia merupakan amalan terbuka yang berlaku dalam PAS.

"Lagi pun dua golongan tersebut telah ada sejak zaman Rasulullah saw dan sahabat. Gerakan Islam dipimpin orang yang benar-benar arif tentang al-Quran dan Hadis," katanya ketika ditemui di sini.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa hari ini mengesahkan menerima pencalonan bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS Jun ini. Beliau akan berdepan dengan Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang mempertahankan jawatan tersebut.

Sulaiman berkata, kehadiran golongan profesional yang menawarkan diri berkhidmat kepada parti dapat memantapkan lagi PAS yang kini menghadapi pelbagai cabaran di alaf baru.

"PAS sudah ada dasar yang jelas. Dasar itu akan memandu segala tindak tanduk pemimpin. Ini kerana Majlis Syura Ulamak menjadi badan tertinggi yang memantau perjalanan parti.

"Maka sesiapa pun berada di kedudukan nombor satu atau dua dalam parti mereka dipandukan oleh Majlis Syura," katanya.

Tiada ulasan: