"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tengku Mahkota Kelantan dilantik Pemangku Raja

Atiff Idris  

KOTA BHARU, 25 Mei (Hrkh) - Tengku Mahkota Kelantan kini dilantik sebagai Pemangku Raja memandangkan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra sedang gering.

Tengku Muhammad Faris Petra menjalankan tugas Sultan mengikut perenggan (b) Fasal (1) dan (3) Perkara 22A Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).

Pelantikan tersebut berkuatkuasa pada 24 Mei 2009 sehingga Tuanku Ismail Petra sembuh daripada kegeringan.

Pengisytiharan mengenai perkara itu dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Mohd Aiseri Alias dalam satu kenyataan kepada media di sini, semalam.

"Hendaklah ada satu pangkuan Raja di dalam negeri apabila Sultan gering dan tidak boleh menjalankan tugas menjaga hal ehwal negeri, maka Majlis Perajaan Negeri hendaklah melantik seorang Pemangku Raja atau satu Majlis Pangkuan Raja," katanya

Kelmarin Majlis Perajaan Negeri mengadakan mesyuarat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bersetuju melantik Tengku Muhammad Faris, iaitu anakanda sulung kepada Sultan Kelantan sebagai Pemangku Raja.

Sultan Kelantan dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sejak 14 Mei lepas bagi menjalani rawatan setelah mengadu mengalami masalah pernafasan.

Baginda kemudian didapati mengalami masalah jantung.

Bagaimanapun semalam baginda dihantar untuk rawatan lanjut di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Tiada ulasan: