"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS Menuju Kehancuran III ? / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

ramziredang

Gempar seluruh negara dengan cadangan TGNA: EGM untuk membincangkan masalah pimpinan PAS. Tentu sahaja nanti akan timbul kritikan terhadap TGNA. Banyak tulisan tulisan saya sebelum ini samada yang tersiar dalam Detikdaily mahupun Terengganukite menggambarkan akan berlaku perpecahan dalam PAS.

Saya menulis berdasarkan kajian pendapat ahli PAS bawahan. Ini kerana pada pandangan saya pemimpin PAS masa kini tidak sensitif pada pandangan ahli bawahan. Yang selalu cuba disemai adalah wala'.Kerana wala' jugalah ahli PAS sanggup berdiam diri padahal hati sentiasa gundah gulana dengan sikap setengah pemimpin. Padahal ada setengah pemimpin telah bersikap 'spoil the nature'. Merosakkan keindahan alam PAS itu sendiri.

Ramai orang dapat melihat dengan jelas kenapa Ong Tee Keat perlu meletak jawatan sebagai Presiden MCA. Kita juga berpendapat Samy Vellu patut berundur dari persada MIC sekalipun kita bukan ahli MIC. Tetapi kita berfikir dari luar. Kita memberi pandangan dari luar kotak. Kita dapat melihat lebih jelas, malah lebih jelas dari ahli parti MIC sendiri. Tetapi pendapat tersebut tidak semestinya menggambarkan kita menyokong MIC. Cuma kita dapat melihat betapa tidak relevannya Samy terlalu lama dipentas MIC. Kita juga dapat melihat dengan jelas kenapa dia masih menang, walaupun dia sudah terlalu lama dikerusi nombor satu tersebut.

Setengah 'mereka' menjawab, kita bukan UMNO, kita bukan MIC atau MCA, memang benar tetapi persoalannya sekarang apakah kita lebih sempit dari mereka?

PAS mengaku sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Tetapi pada masa yang sama PAS perlu menyedari PAS masih tetap berada dalam kelompok politik tanahair. PAS juga mempunyai agenda menarik orang yang bukan ahli PAS untuk menyokong PAS. Malah yang lebih besar lagi PAS cuba menarik bukan Islam untuk menyokong PAS.

Namun dalam menempuh arus perjuangan, PAS dilihat berada dalam dilema. Dilema antara hendak mempercepatkan kemenangan dan menegakkan prinsip. Atas dilema inilah mula timbulnya bibit bibit perpecahan dalam kepimpinan PAS.

Satu golongan pemimpin seolah olah ingin menegakkan prinsip Islam tetapi satu golongan lagi ingin mempercepatkan kemenangan. Yang ingin menegakkan prinsip Islam melihat seolah olah Islam akan terancam jika kerjasama dengan pakatan rakyat direalisasikan dengan segera. Timbul juga pendapat bahawa PAS perlu dominan jika kerjasama ini diteruskan.

Yang ingin mempercepatkan kemenangan pula melihat, apacara sekalipun BN perlu diruntuhkan seberapa segera yang mungkin. Kalau dapat esok, esok juga BN perlu diganti.

Namun yang aneh, kedua dua golongan di atas masih lagi digambarkan seolah olah berpendapat yang sama. Yang inginkan kemenangan cepatpun dilihat ingin menegakkan prinsip Islam dan yang ingin menegakkan prinsip Islampun dilihat ingin mempercepatkan kemenangan.Inilah yang membuat ahli bawahan terasa pening.

Perpecahan sentiasa cuba dinafikan, tetapi berbagai majlis diatur agar bersatu kembali. Tiap pertemuan sentiasa ada rumusan ke arah perpaduan, tetapi pemimpin sendiri masih konsisten pada pendapat peribadi. Di sinilah timbulnya masalah puak dalam kepimpinan. TGHH, ustaz Nasa, Hasan Ali, Mustafa Ali, Harun Taib dan lainnya sentiasa konsisten dan sependapat dengan pendapat yang sama puak dengan yang disebut tadi. Manakala TGNA, Husam Musa, Khalid Samad, Salahudin Ayub, Mahfuz Omar dan sealirannya sentiasa berfikir dengan cara yang sama. Inilah aneh dan membuat ahli bawahan rasa pening kepala.

Jika ahli PAS pening kepala, cuba bayangkan apa pula pendapat bukan ahli PAS dan apa pula pandangan bukan Islam. Orang bukan Islam masih belum dapat gambaran yang jelas, apa arah perjuangan PAS. Para pengundi tanahair masih belum dapat yakin apa yang dapat ditawarkan oleh PAS jika berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Ini kerana sikap pemimpin PAS dilihat berbelah bagi dan tidak sekata.

Paling malang lagi, PAS sebagai sebuah parti Islam digambarkan sebagai 'tidak boleh ditegur', tidak menuju ke arah keterbukaan dan tidak relevan dengan keadaan semasa. Sedangkan Islam sendiri menjamin bahawa Islam dan hukum hukum Islam sentiasa sesuai dengan apa zaman sekalipun.

Sesama pemimpin PAS sendiripun ada timbul kecurigaan, krisis keyakinan dan pertentangan pendapat, bagaimanakah pula pandangan orang luar yang melihat krisis tersebut? Seorang yang bergelar Ketua Dewan Ulamapun boleh bercakap dan menuduh tanpa bukti, bagaimana keyakinan dapat dibina terhadap orang alim yang biasa? Sedangkan Islam sentiasa mengajar kita supaya mencari saksi atas kesalahan tertentu. Islam juga mengajar supaya siasat dan adillah terhadap sesuatu pihak sekalipun ianya musuh, tetapi pemimpin di dalam PAS pun menghentam seberono mengulas sesuatu isu, padahal ianya masih belum pasti samada betul atau salah.

Sayang sekali, sepertimana pendapat tulisan saya yang lalu, dalam putaran roda politik,PAS telahpun berada di puncak dan sekarang PAS berada dalam putaran menurun. Jika anda yang sayangkan PAS merasa pendapat saya ini salah, buktikan, atau sekurang kurangnya ambillah langkah dari sekarang ke arah keutuhan PAS yang sejati.

Semoga PAS menjadi wadah perjuangan yang menggambarkan keindahan Islam sebenarnya. Amin

Tiada ulasan: