Abdul Aziz Ismail
PENDAPAT
Keputusan drastik dan radikal yang dibuat Umno dalam perhimpunan kali ini menyentuh pindaan perlembagaan bukanlah isu baharu. Ini kerana perlembagaan parti itu pernah dipinda dua kali dalam era pemerintahan perdana menteri keempat, Tun (dulunya Datuk Seri) Dr Mahathir Mohamad dan hasilnya sikap ahli Umno tidak berubah dan masih di takuk lama.
Pindaan kali ini juga menimbulkan kesangsian rakyat dan ramai pemerhati politik berpendapat adakah ia boleh dilaksanakan dan meningglkan kesan mendalam atau tinggal sebagai ikrar cantik di atas kertas seperti yang sudah berlaku sebelum ini.
Agenda pindaan kali ini dikatakan lebih besar dan bermakna jika dapat direalisasikan, dengan ahli mempunyai kuasa mutlak, lebih terbuka dan telus dalam memilih pemimpin dari semua peringkat melibatkan semua ahli perwakilan dari bahagaian dan cawangan.
Pindaan itu jika dilaksanakan sepenuhnya dijangka dapat mengurangkan (sepatutnya menghapuskan) politik wang yang selama ini menghantui Umno setiap kali pemilihan berlangsung. Soalnya, adakah semua ahli dapat menerima dan benar-benar boleh mengubah sikap mereka yang selama ini terkenal dengan suka menerima dan memberi habuan sebagai budaya politik mereka?
Adakah ahli Umno dalam waktu terdekat boleh menukar cara berfikir dan cara hidup mereka yang sudah sebati dengan kehendak keperluan material melangkaui keikhlasan ketika berkhidmat tanpa mengharap apa-apa balasan?
Mahathir bersikap skeptikal terhadap keikhlasan ahli Umno untuk berubah terutama bagi mereka yang sudah biasa dengan kegiatan politik wang. Katanya, sukar bagi mereka ini berubah jika tiada tindakan tegas dan keras dari parti serta keyakinan diri sendiri yang kuat dalam kalangan ahli untuk mengubah cara bertindak mereka selama ini.
Anggapan umum ahli Umno terlibat dalam perniagaan besar, kecil atau sederhana yang melibatkan percaturan wang rasuah bukan cerita baharu. Kebanyakan rakyat sedar terutama ahli Pakatan Rakyat bahawa kebanyakan mereka yang menyertai Umno kerana boleh mandapat nikmat material yang besar. Masuk Umno bermakna boleh membuat wang dan melebarkan perniagaan walaupun sebahagian mereka tiada kelulusan dan tidak pandai berniaga.
Yang perlu, hubungan akrab dengan pihak atasan atau pemimpin tertinggi Umno yang berkedudukan. Mereka ini biasanya boleh membantu mendapaatkan "kerja" atau projek dan jarang sekali menghampakan demi menjaga hubungan dan kepentingan masing-masing.
Seorang kawan peniaga menceritakan, beliau tiada masalah mendapat projek besar jika pandai menjaga hati ketua bahagian Umno dan pengurus projek yang dipohon. Beliau adalah aktivis Umno yang rajin dan aktif serta mempunyai hubungan yang rapat dengan ketua Umno atau pemimpin tertinggi Umno tertentu dalam sesuatu kawasan.
Inilah masalah besar dan kritikal yang perlu ditangani Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam usahanya untuk mengubah sikap ahli-ahli Umno yang masih menebal dengan kegelojohan mengejar material untuk kepentingan diri dan kelompoknya berbanding berkhidmat secara jujur kepada parti seperti yang diharapnya.
Baca selanjutnya:- http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=22960&Itemid=1
Tiada ulasan:
Catat Ulasan