"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelaksanaan hukuman sebat

1.Mengikut peruntukan hukum syarak dalam kesalahan jenayah syariah seseorang yang melakukan jenayah yang bukan dikira sebagai kes hudud tidak boleh dikenakan hukuman sebat lebih daripada 10 kali sebatan.

2.Berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud; Janganlah disebat lebih dari sepuluh kali sebatan (jildad) kecuali dalam kes-kes had daripada had-had Allah. (riwayat Bukhari dan Muslim)

3.Oleh itu, sesuatu kes yang tidak dikira sebagai kes hudud tidak boleh dikenakan hukuman sebat sampai ke batas hukuman dalam kes hudud sebagai hukuman takzir supaya tidak melampaui batas yang ditentukan oleh syarak.

4.Sebagaimana Rasulullah dalam satu hadis, bermaksud, "Sesiapa yang menyampaikan (sesuatu hukuman) kepada hukuman had dalam kes bukan had, maka orang itu adalah termasuk dalam golongan orang yang melampaui batas." (riwayat Al Baihaqi)

5.Merujuk kepada konteks Malaysia, mahkamah syariah di seluruh negara ini mempunyai bidang kuasa yang lebih sedikit berbanding sebelumnya, iaitu diberi kuasa melaksanakan hukuman tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

6.Apabila Enakmen Tatacara Jenayah Syariah dipersetujui supaya diseragamkan di semua negeri dan boleh dikatakan hampir semua negeri menerima pakai. Iaitu bererti tidak ada pesalah yang boleh terlepas daripada menerima hukuman sebatan di negara ini.

7.Hukuman sebat syariah seringkali menimbulkan polemik di kalangan masyarakat termasuk rasa tidak puas hati di kalangan umat Islam itu sendiri, akibat mereka tidak memahami peruntukan perundangan itu. Malah lebih teruk lagi, ia disamakan dengan hukuman sebat dalam undang-undang sivil (jenayah), sama ada dari segi konsep dan perlaksanaannya.

8.Sedangkan terdapat peruntukan itu untuk dilaksanakan di seluruh negeri namun hukuman sebat itu hampir tidak dilaksanakan melainkan di negeri Kelantan sahaja. Kesalahan-kesalahan jenayah syariah yang membawa hukuman sebat adalah berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain. Namun mengikut peruntukan undang-undang Malaysia, apa juga bentuk kesalahan yang boleh membawa hukuman sebat, hukuman itu hanya boleh dijatuhkan pada had maksimumnya enam kali sebatan.

9.Ini adalah berbeza dengan undang-undang sivil yang memperuntukkan sebat bagi kesalahan yang serius. Hukuman sebat syarie juga bukan sahaja dijatuhkan kepada kesalahan yang serius, ini termasuk juga kesalahan berkaitan dengan akhlak, tatasusila dan juga beberapa kesalahan yang lain.

10.Negeri Selangor misalnya mempunyai lapan bentuk kesalahan syariah yang memperuntukkan hukuman rotan kepada pesalah-pesalah syarie. Iaitu doktrin palsu, mencemarkan tempat ibadat, sumbang mahram, melacurkan isteri, muncikari (bapa ayam), persetubuhan luar nikah, persediaan persetubuhan luar nikah dan persetubuhan bertentangan dengan tabii.

11.Manakala Kelantan memperuntukkan kesalahan minum arak selain kesalahan zina, mukadimah zina dan liwat. Wilayah Persekutuan pula menggunakan istilah Musahaqah, iaitu kesalahan gay dan lesbian, selain kesalahan-kesalahan lain yang hampir sama dengan Selangor.

12.Sementara Melaka hanya merotan bagi kesalahan hubungan luar tabii. Pulau Pinang, Johor, Terengganu dan Sarawak hampir sama seperti Wilayah Persekutuan dan Selangor. Perlis pula hanya kesalahan minuman yang memabukkan dan Sabah pula rotan atas kesalahan persetubuhan luar tabii dan persetubuhan haram.

13.Kesemua kesalahan tersebut adalah mengikut budi bicara hakim, sama ada setiap pesalah dijatuhkan hukuman denda, atau rotan atau penjara atau kesemua sekali atau juga mana-mana kombinasi yang dirasakan wajar.

14.Melalui Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 yang diperuntukkan di negara ini, kesemua aspek perlaksanaan hukuman ini dijelaskan dalam bentuk yang terperinci bagi memastikan perlaksanaannya adalah adil.

15.Manakala, melalui seksyen-seksyen tertentu, peruntukan ini menyentuh siapakah yang seharusnya dilantik sebagai pelaksana hukum, bagaimana sebat dijalankan, bagaimana pesalah diletakkan untuk disebat dan sebagainya.

a] Seksyen 125 (3) (e) misalnya berbunyi; "Orang itu hendaklah menggunakan alat sebat dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi paras kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah."

b] Seksyen 125 (3) (i) berbunyi; "Jika pesalah lelaki hendaklah dikenakan dalam keadaan dia berdiri dan jika pesalah perempuan dalam keadaan dia duduk."

c] Seksyen 125 (3) (h) berbunyi: "Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum Syarak.

16.Sebagaimana yang pernah diamal dan dilaksanakan di Kelantan, kaedah yang digunakan adalah sama sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta, tinggal lagi dalam kaedah yang diguna pakai seperti Kaedah 9, ia berbunyi; "Ketika disebat pesalah (tanpa mengira pesalah lelaki atau perempuan) hendaklah berdiri dan memakai pakaian tipis yang menutup aurat mengikut Hukum Syarak."

17.Walaupun begitu, kengerian melihat pelaksanaan hukuman sebat sivil menghantui pelaksanaan sebat Syariah sedangkan antara kedua-duanya ada perbezaan yang cukup besar. Sebat sivil dilihat terlalu kejam kerana mendatangkan pendarahan dan kecederaan malah parut sebat itu sendiri hanya akan hilang setelah dua tahun disebat.

18.Namun melihatkan aspek-aspek yang diperuntukkan dalam Syariah, ternyata hukuman rotan dalam Islam adalah berbeza malah tidak pun dilaksanakan lagi, sedangkan ia merupakan satu kaedah yang sangat berkesan bagi menangani dan menyelamatkan masyarakat daripada pelbagai gejala.

19.Ini jelas menunjukkan halangan untuk melaksanakan sebat dalam syariah hanyalah bersifat metafora dan bukan halangan yang sebenar.

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.
http://episodeperjuangan.blogspot.com

Tiada ulasan: