"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keluar parti: Kumpulan 10 MP PKR muncul pagi ini

G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 3 Mac: Di sebalik desas-desus lebih ramai akan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kumpulan 10 Ahli Parlimen parti itu, yang dikategorikan antara mereka dijangka meninggalkan PKR, akan muncul pagi ini untuk menafikan spekulasi mahu berbuat demikian.

Kumpulan 10 ini dijadual membuat penjelasan tentang pendirian dan ikrar setia kepada pucuk kepimpinan PKR pagi ini.

Desas-desus mereka akan keluar PKR kedengaran sejak awal bulan lalu.

The Malaysian Insider difahamkan di antara mereka yang akan menghadiri sidang media pagi ini ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail.

Edaran media PKR awal pagi tadi juga mengesahkan satu sidang media akan diadakan berhubung isu tersebut.

Seramai 10 Ahli Parlimen PKR akan hadir pada satu sidang media yang akan diadakan hari ini, kata kenyataan tersebut.

“Sidang media ini bertujuan menjelaskan spekulasi bahawa lebih ramai lagi ahli Parlimen dari Keadilan akan meninggalkan parti,” kata kenyataan media itu.

Pertemuan dengan media ini diadakan tiga hari selepas bekas setiausaha agung PKR Datuk Salehuddin Hashim mengakui akan ada lebih ramai lagi Ahli Parlimen PKR bakal keluar parti itu, sekali gus memainkan peranan sebagai wakil rakyat Bebas di Parlimen.

Sejak pertengahan bulan lalu dua Ahli Parlimen PKR sudah keluar iaitu Datuk Seri Zahrain Hashim dan Tan Tee Beng masing-masing wakil rakyat Bayan Baru dan Nibong Tebal dari Pulau Pinang telah memutuskan untuk keluar parti.

Tan mengumumkan pendiriannya kelmarin.

Mereka merupakan antara yang dihadapkan kepada lembaga disiplin.

Seorang lagi yang disiasat lembaga itu Zulkifli Noordin menafikan akan keluar PKR.

“Saya akan berjuang habis-habisan,” kata Zulkifli ketika dihubungi malam tadi dan mengatakan bahawa beliau tidak tahu apa-apa mengenai sidang media Kumpulan 10 Ahli Parlimen ini.

“Saya tidak dimaklumkan apa-apa,” katanya.

Semalam Salehuddin dan Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali berbalas kenyataan mengenai pengakuan dibuat oleh beliau pada sidang media Tan kelmarin.

Kelmarin, Salehuddin secara terbuka buat kali pertama sejak melepaskan jawatannya Januari lalu mengakui lebih ramai Ahli Parlimen parti itu akan keluar — dipercayai lebih daripada 10 orang.

Menjawab soalan desas-desus akan ada 10 anggota Dewan Rakyat akan keluar dalam waktu terdekat, Salehuddin membayangkan jumlah itu “mungkin lebih.”

“Ya (akan ada yang akan keluar)... tolak kumpulan sosialis, tolak NGO, tolak kroni... anda kira sendiri, anda akan dapat jawapan,” kata beliau kepada wartawan ketika menemani Tan umum keluar PKR dan jadi Ahli Parlimen Bebas.

Salehuddin juga berkata Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan apa yang patut untuk memujuk supaya tiada lagi wakil rakyat keluar PKR.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: