"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Batu Nisan: Jabatan Agama kesal sikap pihak masjid, kontraktor

BUTTERWORTH, 12 April: Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) hari ini meluahkan rasa kesal dengan sikap pentadbir Masjid Kubang Buaya dan kontraktor bertanggungjawab kerana gagal memaklumkan kepada waris sebelum bertindak mengalihkan batu nisan sejumlah kubur di kawasan perkuburan masjid itu.

Pengarahnya Sazali Hussin berkata tindakan itu bertentangan dengan prosedur yang mengkehendakki pihak berkenaan menghubungi waris terlebih dahulu dan menyerahkan batu nisan kepada mereka.

“Isu ini tidak sepatutnya berlaku. Pihak JAIPP sudah mengarahkan pihak masjid itu supaya mengambil semula nisan-nisan yang dibuang itu dan serahkan kepada waris,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Sazali mengulas laporan akhbar semalam yang antara lain menyebut seorang pemancing menemui sebanyak 110 batang batu nisan bersama longgokan tanah di Bagan Ajam di sini.

Dipercayai batu-batu nisan itu dicabut daripada lebih 100 buah kubur di kawasan perkuburan Islam Kampung Gajah di sini bagi membolehkan kontraktor membawa masuk jentera untuk membersihkan kawasan bersebelahan tanah perkuburan itu.

“Saya difahamkan kontraktor itu diupah oleh pentadbir masjid untuk membersihkan kawasan tersebut bagi tujuan membesarkan tanah perkuburan sedia ada. Saya difahamkan juga tindakan mencabut batu nisan itu dilakukan oleh kontraktor,” katanya.

Beliau juga meminta waris kepada kubur-kubur yang terlibat agar membuat aduan kepada JAIPP bagi menyelesaikan isu tersebut.

Sementara itu beberapa waris kepada kubur-kubur yang terlibat ketika ditemui di tanah perkuburan itu hari ini menyatakan rasa terkejut dengan insiden itu. Jamil Darma, 50, yang telah tinggal di kampung itu sejak 30 tahun lepas berkata insiden sedemikian tidak pernah berlaku.

“Kenapa selepas pentabiran kerajaan negeri berubah perkara seperti ini berlaku? Saya sangat kecewa dengan pihak masjid yang tidak berbincang atau memaklumkan kepada waris berhubung hal ini,” katanya.

-Bernama-

Tiada ulasan: