Pegawai Penyelaras Pakatan Parlimen Hulu Selangor, Ali Rahman berkata kejadian berlaku apabila Pemuda BN didakwa bertindak membaling botol berisi air ke arah hadirin yang lalu lalang untuk mendengar ceramah yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat.
Ali mendakwa sebanyak tiga hingga empat biji botol dibaling oleh mereka ke arah hadirin yang berulang-alik di situ.
Katanya tindakan provokatif itu dilakukan seramai kira-kira 30 hingga 40 orang Pemuda BN yang berada di pondok panas mereka yang terletak bersebelahan dengan padang berkenaan.
Kejadian berlaku sejurus ketibaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sampai ke situ untuk menyampaikan ceramahnya kira-kira jam 11.15 malam.
Tiindakan membaling botol itu mencetuskan kemarahan hampir 30 penyokong Pakatan.
Mereka kemudiannya meluru ke arah Pemuda BN sambil meminta agar penyokong kerajaan itu memberi kerjasama, menjaga adab dan menghormati program tersebut tanpa sebarang gangguan.
Malaysiakini turut mendapati beberapa wakil dari Pemuda BN cuba memujuk penyokong mereka agar bertenang dan mengendurkan keadaan.
Ketegangan yang berlaku selama 10 minit itu, berjaya ditenteramkan oleh kira-kira 30 anggota polis yang berada di situ termasuk lapan anggota Light Strike Force yang datang beberapa minit kemudian.
Sebelum itu, penyokong BN bersorak dan menjerit tanpa henti bagi mengganggu ucapan beberapa pemimpin Pakatan antaranya Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub; ahli parlimen Puchong dari DAP Gobind Singh Deo dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar yang sedang menyampaikan ceramah mereka.
Selepas campur tangan polis, ceramah malam semalam berjalan lancar dan pemimpin Pakatan menggunakan peluang itu bagi menempelak tindakan Pemuda BN.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan