"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Salahuddin: PAS himpunkan 10,000 petugas bantu Zaid

Syed Mu’az Syed Putra

HULU SELANGOR, 22 April: PAS telah mula menggerakkan seratus peratus jentera pilihan raya dengan tidak kurang 10,000 petugas mula membanjiri Hulu Selangor secara berperingkat bagi memastikan kemenangan calon Pakatan Rakyat (PR) Datuk Zaid Ibrahim.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, parti telah mengarahkan jentera pilihan raya pihaknya “dimaksimumkan” bagi memastikan seluruh maklumat dapat disalurkan dengan tepat kepada kumpulan sasaran.

“Dua hari lalu, kita telah mengadakan mesyuarat jentera pilihan raya dan mengarahkan seluruh jentera PAS dari seluruh negara digerakkan semaksimum yang mungkin di sini.

“Ini bagi memastikan kekuatan jentera PR ditingkatkan dan kita bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Apa yang penting sekarang, saya telah perhatikan seluruh jentera PAS telah hadir dan ditempatkan di kesemua Unit Peti Undi yang ditugaskan pada mereka.

“Kita sebagai jentera sokongan yang penting kerana mempunyai ramai petugas dari seluruh negara dan kita akan pastikan kekuatan di setiap UPU dapat dimaksimumkan.

“Penting untuk PR memenangi pilihan raya kecil ini kerana untuk membuktikan bahawa suara kita akan dapat didengar di Parlimen dan juga kemenangan ini akan melonjakkan lagi dokongan rakyat kepada PR,” katanya lagi.

Beliau juga menafikan dakwaan bahawa pemimpin PAS tidak menghadirkan diri dalam setiap ceramah semasa kempen pilihanraya dijalankan.

“Ini tidak betul kerana sejak dari awal kita telah menurunkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan juga pemimpin tertinggi yang lain.

“Mungkin kerana Hulu Selangor ini besar seluas Melaka jadi kita terpaksa bertebaran setiap malam untuk berkempen.

“Saya sendiri baru pergi ke beberapa buah daerah mengundi sahaja kerana jemputan yang begitu ketat selain masa yang tidak mencukupi.

“Jadi tidak betul sebenarnya mengatakan kita tidak hadir kerana sejak dari hari pertama kita telah ada,” katanya.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka akan menyampaikan ceramah perdana malam esok.

Antara lain semalam jentera pilihan raya PAS mengadakan secara berkelompok di kawasan Sungai Buaya yang turut disertai Ketua Dewan Muslimat dan ahli jawatankuasa pusat PAS.

Sehubungan itu kata Ahli Parlimen Kubang Kerian ini, PAS akan memberikan komitmen seratus peratus dan dalam masa tiga hari sebelum hari pengundian semua maklumat akan disalurkan dengan tepat kepada pengundi.

“Kita akan melakukan pecutan terakhir dalam tempoh tiga hari ini dengan memastikan segala maklumat dapat disalurkan dengan tepat.

“Selain itu, kita juga akan memastikan bilangan jentera (PAS) mencukupi untuk membantu jentera Parti Keadilan Rakyat.

“Jadi komitmen daripada jentera kita amat penting bagi memastikan kemenangan calon PKR dan juga PR,” katanya ketika ditemui selepas berucap di Karnival Rakyat di Padang Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Batang Kali dekat sini malam tadi.

Salahuddin menambah, kempen secara serangan peribadi yang dilakukan Barisan Nasional (BN) terhadap calon PKR serta pemimpin PR adalah strategi lapuk yang sudah tidak lagi berguna untuk mempengaruhi minda pengundi.

“Pengalaman saya selama 30 tahun dalam politik ini, isu-isu yang terlalu peribadi ini sudah lagi tidak mendapat perhatian rakyat.

“Dalam beberapa siri pilihan raya kecil seperti di Kuala Terengganu, Bagan Pinang, Permatang Pasir dan Bukit Selambau, saya lihat isu-isu yang terlalu peribadi sudah tidak lagi mengusik dan menyentuh pengundi.

“Kempen secara peribadi ini rakyat sudah boleh faham, apa yang penting untuk mereka lihat adalah janji ataupun manifesto dan juga mahu melihat apa yang mereka boleh dapat daripada kerajaan,” tambahnya.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: