"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peneroka taruh harapan kepada Zaid

Harakahdaily

HULU SELANGOR, 22 April: Para peneroka menaruh harapan dan melahirkan keyakinan bahawa calon Pakatan Rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim mampu menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi sekiranya diberi kepercayaan sebagai ahli Parlimen Hulu Selangor.

Berbekalkan pengalaman sebagai peguam yang mempunyai syarikat guaman terbesar di negara ini selain pernah menganggotai kabinet kerajaan Pusat, Zaid berkemampuan untuk mengatasi masalah pemilikan tanah peneroka Felda yang sebahagian lagi belum diselesaikan.

Di samping itu, Zaid juga diharapkan dapat mencari punca dengan sikap pengurusan Felda yang mengenakan bayaran sekitar RM340 hingga RM380 untuk mendapatkan geran sebagaimana yang berlaku di Felda Sungai Tengi peringkat dua.

Musa Anang, 65, (kiri) dari Felda Sungai Tengi mempersoalkan pengurusan Felda mengenakan bayaran kepada peneroka untuk mendapatkan geran hak milik.

“Peneroka di sini dikenakan bayaran untuk mendapatkan geran, kalau tak bayar tak dapat. Tapi di Felda Sungai Tengi peringkat satu dan tiga tidak dikenakan bayaran,” ujarnya yang menjadi peneroka di situ sejak 1972.

Menurutnya, berdasarkan perjanjian asal, tiap-tiap hak milik tanah berkenaan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan tindakan pihak Felda yang menentukan bayaran itu.

Rakannya, Mohd Ali, 65, (kanan) mengakui telah mendapat geran hak milik tanpa sebarang bayaran.

“Perkara ini mesti dijelaskan oleh pihak Felda,” ujarnya yang tinggal di peringkat satu sejak 1973.

Baginya, rakan-rakan di peringkat dua yang membayar untuk mendapatkan hak milik itu mungkin mempunyai kepentingan tertentu, mislanya untuk mengusahakan tanah berkenaan.

“Tetapi mengapa dikenakan bayaran sedangkan saya pun mendapat hak milik tanpa diminta bayaran,” ujarnya.

Nordin Saari, 49, (kiri) pula berharap Zaid dapat memainkan peranan supaya bayaran yang dikenakan oleh Felda kepada para peneroka terbabit dikembalikan semula.

Baginya, sekiranya calon Pakatan Rakyat itu diberikan peluang mewakili rakyat termasuk peneroka di Hulu Selangor, perkara itu dapat diketengahkan kepada pihak berkenaan.

“Saya rasa Zaid dapat menyelesaikan masalah ini, kami nak balik bayaran kami,” ujarnya.

Hasrat para peneroka berkenaan adalah selaras dengan tiga agenda perubahan yang ingin dilaksanakan oleh Zaid di Parlimen Hulu Selangor sekiranya dipilih pengundi ke Dewan Rakyat.

Pada satu sidang media beberapa hari lepas, beliau bercadang mengajak kerajaan negeri bertindak campur tangan dalam menghadapi birokrasi Felda, iaitu badan berkanun di bawah Pusat bagi menyelesaikan masalah pemilikan tanah peneroka Felda di kawasan itu.

Zaid bersedia untuk memastikan para peneroka Felda terbabit mendapat hak pemilikan tanah yang sepatutnya diperolehi.

Bagi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mampu memberi nilai tambah kepada PKR, Pakatan Rakyat Selangor dan kerajaan negeri sendiri.

"Nilai tambah yang perlu dan boleh dilakukan oleh Zaid ini, beliau bukan sahaja boleh membawa isu penafian hak peneroka Felda ke Parlimen, boleh memberitahu kaedah-kaedah dan cara-cara untuk menyelesaikan isu tanah menggunakan jalan perundangan," jelasnya pada sidang media bersama Zaid itu.

Justeru, berdasarkan pengalaman serta kebolehan calon Pakaran Rakyat itu berbanding calon BN, Kamalanathan, baginya tidak ada sebab bagi rakyat untuk tidak memilih Zaid pada Hari Mengundi, Ahad ini.

Tiada ulasan: