"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Optimis menang walaupun sengit

Hafiz Irwan
BACHOK, 12 April:
Pakatan Rakyat (PR) sentiasa optimis akan beroleh kejayaan sekali lagi di dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini walaupun menghadapi saingan yang sengit, kata Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.

Katanya, perkara itu berasaskan sejarah PRK secara tradisinya pembangkang bukan sahaja berdepan dengan parti lawan bahkan terpaksa menghadapi seluruh jentera kerajaan.

“Dalam setiap pilihan raya kecil, kita tahu sebenarnya kita hanya bukan berdepan dengan Umno sebagai parti, tapi kita akan berdepan dengan Umno/Barisan Nasional (BN) dan seluruh jentera kerajaan.

“Maksudnya pertembungan itu bukan hanya antara parti dan parti, tapi antara parti dengan lawan politik yang akan didokong oleh jentera kerajaan keseluruhannya,” katanya di sini.

Katanya, Pakatan Rakyat sememangnya berhasrat mencapai kemenangan setiap kali menyertai pilihan raya dengan mengharapkan momentum PRK Parlimen Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang kembali berulang di Hulu Selangor.

Mengenai majoriti undi, beliau berkata masih terlalu awal untuk memperkatakannya.

“Payah untuk saya sebut pada peringkat ini kerana kita baru bermula dengan kerja-kerja awal.

“Saya sendiri baru mendapat maklumat-maklumat awal, sudah tentulah sehingga tempoh pada hari ini masih belum dapat kita membuat sebarang andaian lagi,” katanya selaku Pengarah Pilihan raya PAS dalam PRK itu.

Namun, dari sudut moral Nasharuddin yang juga Ahli Parlimen Bachok melihat sokongan rakyat kepada PR masih kuat.

Tiada ulasan: