Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 20 April: PAS sudah mendapat maklumat lebih awal bahawa Datuk Dr Halili Rahmat telah mengarahkan penyokong-penyokong setianya menyamar untuk mensabotaj gerak kerja Pakatan Rakyat (PR) di Hulu Selangor.
Justeru, Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, PAS telah terlebih dahulu bertindak membuka bilik-bilik gerakan di setiap unit peti undi (UPU) sebagai sokongan kepada jentera PKR.
Dengan itu, katanya PAS tidak melihat kemasukan Dr Halili ke dalam Umno semalam sebagai satu ancaman besar kepada gerak kerja PR di Hulu Selangor.
“Perkara ini sudah dijangkakan lebih awal dan pemilihan Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon adalah pemilihan yang paling tepat,” ujarnya.
Menurutnya, gabungan jentera pilihan raya Pakatan dari seluruh negara tidak mampu dihalang oleh Dr Halili dan penyokong-penyokong yang membelot kepada PKR.
“PAS berterima kasih kerana akhirnya Dr Halili mengakui identiti sebenarnya, dan ini memudahkan gerak kerja Pakatan di Hulu Selangor,” ujarnya.
Tambahnya, untuk gelombang seterusnya PAS akan mengerakkan full enforcement dari setiap negeri, bagi memastikan gerak kerja berganda dapat dilakukan.
Katanya, beberapa markas PAS di UPU Hulu Selangor juga dijadikan markas utama bagi memudahkan gerak kerja.
Tambahnya, petugas PAS diminta melaporkan diri di markas-markas yang telah ditetapkan, dan menumpukan kerja-kerja kempen mengikut jadual yang ditetapkan.
Beliau menambah, BN akan terus berputih mata melihat kesatuan erat komponen Pakatan di Hulu Selangor yang selama ini sering digambarkan mengalami masalah.
Hakikatnya, kata beliau jentera BN belum mampu disatukan ekoran pemboikotan ahli-ahli Umno yang tidak puas hati terhadap Datuk Seri Najib Razak kerana memberikan kerusi calon kepada MIC.
Justertu, katanya PAS akan terus memberikan komitmen membantu jentera PKR untuk kebaikan rakyat di Hulu Selangor yang sudah lama diabaikan BN.
Katanya, walaupun mereka sudah menang 11 penggal di Parlimen Hulu Selangor dan menguasai tiga Dun hingga ke hari ini, tetapi masih banyak kekurangan dan pembangunan yang gagal dilaksanakan.
“Setiap kali pilihan raya mereka berjanji, tetapi habis pilihan raya mereka tidak peduli lagi. Yang pasti janji BN dulu, kini dan selamanya tetap sama, iaitu pembangunan dan pembangunan. Itu sahaja yang mereka tahu,” katanya lagi.
PAS, tegasnya yakin rakyat yang bijak akan pasti menolak BN di dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor Ahad ini.
“Undilah calon Pakatan Rakyat dari PKR, Datuk Zaid Ibrahim sebagai signal bahawa rakyat Hulu Selangor benar-benar mahukan perubahan,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan