"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM masih Nik Aziz dan menantu

KOTA BARU, 26 April: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan siasatan terhadap Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) berhubung dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Sambil menolak tanggapan kononnya kes itu ditutup atau siasatan sengaja dilewatkan, Pengarah SPRM Kelantan, Nasaruddin Mohd Nor, berkata beberapa orang akan dipanggil bagi membantu siasatan itu dalam masa terdekat ini.

“Ada beberapa saksi akan dipanggil yang berkaitan dengan aduan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen “Perangi Pemberi Rasuah” di sini hari ini.

Pada 7 April lepas, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian, mendesak SPRM mendedahkan status siasatan tersebut. SPRM dilaporkan telah menjalankan siasatan terhadap Abdul Ariffahmi sejak November tahun lepas setelah timbul pelbagai dakwaan mengenai PMBK.

Siasatan terhadap Nik Abdul Aziz pula dipercayai dilakukan setelah terdapat laporan yang beliau dan keluarganya menerima tajaan haji bernilai RM65,000 yang turut melibatkan Abdul Ariffahmi serta beberapa ahli keluarganya.

Nasaruddin berkata mana-mana laporan yang diterima sama ada melibatkan kes berprofil tinggi atau sebaliknya disiasat mengikut prosedur.

-Bernama-

Tiada ulasan: