Exco Kanan Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa mendakwa keuntungan yang akan diperoleh dari hasil pengeluaran lesen judi bola sepak Piala Dunia sebagaimana yang diumumkan Kerajaan Pusat akan digunakan untuk operasi politik yang kotor.
Menurutnya, beliau yakin langkah itu diambil Kerajaan Pusat berdasarkan maklumat yang diperolehnya.
“Saya yakin begitu. Berdasarkan maklumat, keuntungan judi ini akan digunakan untuk satu operasi politik yang kotor,” katanya dipetik dalam blognya, semalam.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menyatakan akan ada dalam masa terdekat salah satu negeri Pakatan Rakyat (PR) tumbang seperti mana yang berlaku di Perak.
Dalam masa yang sama, terdapat desas-desus yang mengaitkan bahawa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah akan berlaku dalam masa terdekat walaupun dinafikan Menteri Besarnya, Datuk Seri Azizan Abd Razak.
Dalam pada itu, Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas II Kelantan berkata, sesi penera- ngan kepada rakyat berkenaan isu tersebut perlu dilakukan oleh pemimpin PR di seluruh negara.
“Kenali Pemimpin UMNO di Kedah, Selangor dan mana-mana sampai ke desa-desa. Jika Tony Pua (wakil rakyat DAP) dan lain-lain pemimpin bukan Melayu boleh bersama mencela langkah BN mengambil kesempatan melesenkan perjudian ini dengan 2,000 premis jualan di seluruh negara, saya rasa BN boleh terencat.
"Ia akan menjadi pentas pertama seumpamanya dalam isu ini. Dalam UMNO sendiri bukan sedikit yang tidak bersetuju dengan polisi ‘gila wang semata-mata’ ini,” katanya.
-SinarHarian-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan