"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kumpulan Semesta: ‘Maaf kami tak mahu cakap apa-apa’

KUALA LUMPUR, 18 Mei — Kumpulan Semesta Sdn Bhd yang memberi tempoh 48 jam kepada S. Manikavasagam agar menarik balik dakwaan dan memohon maaf, enggan menyatakan pendirian susulan pihaknya terhadap Ahli Parlimen Kapar itu.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, jurucakap syarikat pasir kerajaan negeri Selangor itu enggan memberi sebarang komen mengenai perkara tersebut.

Jumaat lalu syarikat itu memberikan tempoh 48 jam kepada wakil rakyat itu agar menarik balik tuduhan, memohon maaf, meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen dan membayar ganti rugi kepada Kumpulan Semesta.

“Buat masa sekarang kami tidak akan memberi sebarang komen mengenai apa-apa yang berkaitan dengan Kumpulan Semesta.

“Minta maaf kami tidak mahu cakap apa-apa,” kata jurucakap itu dihubungi itu.

Apabila diminta untuk bercakap dengan Pengarah Eksekutifnya, Ramli Abd Majed, jurucakap tersebut memberitahu beliau sedang bermesyuarat.

“Beliau menghadiri mesyuarat di luar dan saya tidak tahu sama ada beliau akan masuk ke pejabat kembali.

“Lagipun beliau juga tidak akan memberikan sebarang komen mengenai perkara ini,” kata jurucakap itu lagi.

Pada 8 Mei lalu, Manikavasagam (gambar) mendakwa wujud amalan rasuah membabitkan pegawai kanan dalam anak syarikat kerajaan negeri itu.

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan Kumpulan Semesta dan meminta supaya Manikavasagam menarik balik dakwaan tersebut dan memohon maaf dalam tempoh 48 jam Jumaat lalu.

Menurut Ramli, syarikat itu akan memfailkan saman fitnah terhadap Manikavasagam jika beliau gagal berbuat demikian dalam tempoh masa yang diberikan.

“Tuduhan kerugian dan salah urus adalah tindakan bagi merosakkan nama baik syarikat,” katanya.

Beliau berkata syarikat itu membuat keuntungan dan melaksanakan dasar-dasar dan garis panduan yang telus bagi mengekang amalan rasuah dan rela memberi kerjasama penuh kepada agensi yang menyiasat bagi membersihkan semua tuduhan tidak berasas itu.

Ramli juga berpendapat Manikavasagam perlu meletakkan jawatan dan membayar pampasan kepada Kumpulan Semesta kerana mencemarkan nama baik jika syarikat itu didapati bebas daripada semua dakwaan tersebut.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: