"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis, SPR perlu 'transformasi' sikap - Pemuda PAS

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 17 Mei:
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menggesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih profesional menjalankan tugas mereka.

Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata, ini kerana kedua-dua pihak tersebut kini dilihat seperti mengikut telunjuk pemerintah sedangkan mereka sepatutnya bebas dari pengaruh mana-mana pihak.

"Tindak-tanduk mereka yang kebelakangan ini jelas berpihak kepada kerajaan pemerintah sedangkan sepatutnya mereka harus adil dalam menjalankan tugas masing-masing," katanya.

Kepada SPR, beliau merujuk insiden Pilihanraya Kecil Parlimen Sibu di mana SPR dakwanya enggan mengeluarkan Borang 15 iaitu dokumen yang mengesahkan keputusan rasmi undi pos serta melewat-lewatkan keputusan undi pos.

"Semacam ada ‘sesuatu’ yang cuba dilakukan bagi memenangkan Barisan Nasional," katanya.

Begitu juga dengan tindakan SPR ketika Pilihanraya Kecil Hulu Selangor yang telah memindahkan sejumlah 1,402 pengundi atas dasar sempadanan semula.

"Ia jelas mempamerkan sikap SPR yang seakan menjadi ‘alat’ kepada Umno BN," katanya lagi.

Polis pula jelasnya sudah banyak terpalit dengan isu-isu yang boleh mencabar imej mereka sebelum ini.

Terbaru, tindakan menghalang perhimpunan aman membantah judi bola dan konsert 12 jam di Masjid Jamek Kampung Baru turut dipertikai.

"Baru Jumaat lepas. Tidak cukup dengan menghalang malah bertindak memukul peserta demontrasi yang pada asalnya berlangsung dalam suasana aman yang kemudiannya bertukar menjadi ganas akibat campurtangan pihak Polis," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata sudah sampai masanya SPR dan PDRM lebih profesional serta telus dan membuang perangai ‘kebudak-budakkan’.

"DPPP berharap agar pihak berkenaan bertindak berlandaskan undang-undang bukannya mengikut telunjuk mana-mana pihak demi untuk kepentingan politik semata," katanya.

Tiada ulasan: