"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PERKASA serah memo pada PM desak Musa letak jawatan

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) membatalkan hasratnya untuk menghantar memorandum bantahan kepada Sime Darby hari ini, mendesak pengerusinya, Tun Musa Hitam dan ahli lembaga pengarah konglomerat itu meletak jawatan sebagai bertanggungjawab ke atas kerugian lebih RM1 bilion.

Penyerahan memorandum itu dijadualkan jam 2.30 petang ini bertempat di syarikat tersebut di Jalan Raja Laut tetapi dibatalkan malam tadi,

Sebaliknya memorandum itu akan dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu Kongres Ekonomi Bumiputera di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Sabtu ini.

Kongres itu anjuran Majlis Permuafakatan Melayu (MPM) yang dipengerusikan oleh Datuk Ibrahim Ali yang juga presiden PERKASA. Setakat ini, 87 NGO bernaung di bawah MPM.

Ketua Penerangan Wira Perkasa Nurul Izham Anuar berkata keputusan membatalkan rancangan hari ini dibuat dalam mesyuarat kepimpinan PERKASA malam tadi.

Katanya, mengikut rancangan asal, Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas akan mengetuai kira-kira 30 penyokong NGO untuk menghantar memorandum tersebut.

"Selepas memikirkan semula, (memandangkan) kita akan mengadakan kongres itu pada tarikh tersebut, (maka) kita akan jadikannya satu resolusi bersama kongres sebelum diserahkan kepada perdana menteri,” katanya.

"Semua NGO mengambil tanggungjawab sebagai satu desakan yang kuat untuk dimajukan kepada Datuk Seri Najib," tambahnya.

Sebelum ini dilaporkan
Pengerusi Sime Darby Tun Musa Hitam membayangkan hanya akan meletakkan jawatan sekiranya siasatan penuh dalaman mendapati beliau dan anggota lembaga pengarah bertanggungjawab terhadap kerugian besar yang dialami oleh konglomerat itu.

Sime Darby mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM1.63 bilion oleh Bahagian Tenaga dan Utiliti akibat lebihan kos dalam projek Qatar dan Empangan Bakun.

"Penyerahan resolusi tersebut akan dibuat selepas Najib menyampaikan ucapan penutupnya dalan kongres itu," katanya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: