"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pertukaran Dengan Singapura, Berkait Dengan Defisit Negara?

SHAH ALAM, 25 MEI: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee tertanya-tanya sama ada perjanjian pertukaran enam bidang tanah di Tanjong Pagar dengan dua kawasan di Singapura, ada kaitan dengan masalah defisit negara yang berjumlah RM363 bilion.

Beliau bimbang kerajaan Umno Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Najib Razak, sanggup berbuat demikian kerana faktor terdesak dan tidak ada pilihan lain berikutan defisit negara yang semakin membengkak.

Bercakap kepada TV Selangor, Tony Phua tidak terkejut jika perjanjian pada 1 Julai 2011 ini akibat tindakan terdesak kerajaan Umno BN untuk melangsaikan hutang negara.

“Buat masa ini, kita nampak antara satu kebaikan yang Najib boleh terima ialah wang daripada pembangunan tanah di Singapura, tanah yang diperolehi dan dimiliki memang tinggi nilainya.

"Saya rasa antara sebab Najib setuju membuat perjanjian biarpun ada perubahan dalam polisi tentang tanah, berkemungkinan kerana kerajaan Malaysia dapat banyak wang hasil kerja yang bakal dibuat di tanah KTM itu,” katanya.

Sebelum ini, Najib dan rakan sejawat dari Singapura Lee Hsien Loong bersetuju memindahkan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai 2011.

Malaysia akan menempatkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kereta apinya di WTCP.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membahaskan Bajet 2010 tahun lalu menyelar pentadbiran kerajaan persekutuan berikutan defisit negara melonjak dalam tempoh beberapa tahun sahaja.

Pada tahun 2008, hutang negara meningkat 18.3 peratus daripada RM306.4 bilion kepada RM362.5 bilion tahun 2009.

Statistik menunjukkan hutang negara pada 2006 yang berjumlah RM242.2 bilion kemudian meningkat sebanyak 49.7 peratus.

“Kami punya defisit agak tinggi. Defisit negara sudah mencapai RM363 bilion,” katanya yang kesal walaupun pelbagai langkah diumum bagi memacu ekonomi tetapi kemerosotan pendapatan negara, mendorong masalah defisit yang berpanjangan.

“Saya rasa Malaysia sekarang ini tidak cukup wang dan defisit negara sangat tinggi. Jadi, kerajaan BN terdesak untuk menyelesaikan masalah dan bakal mendapat pulangan wang melalui perjanjian seperti itu,” katanya.
-tvselangor-

Tiada ulasan: