"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis Siasat Polis Bangkit Keraguan Rakyat

Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi Mohd Taufek Abdul Ghani menyifatkan sebarang kes jenayah yang melibatkan anggota polis tidak harus disiasat pasukan polis bagi mengelakkan keraguan di kalangan masyarakat awam.

Merujuk kejadian seorang remaja parah selepas ditembak polis di Jalan Jelebu beberapa hari lalu ketika menunggang motosikal, beliau mencadangkan satu suruhanjaya bebas ditubuh bagi menyiasat kes berkenaan.

Minggu lalu, Mohd Azizi Aziz, remaja berusia 17 tahun ditembak seorang konstabel polis dan mengenai perutnya hingga tembus ke usus, ketika melarikan diri dari polis.

Pada masa ini, mangsa dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan dilapor dalam keadaan lemah.

Tuafek berpendapat, meskipun siasatan sudah dimulakan dan konstabel sudah ditahan reman, tetapi selagi kes ini dikendalikan oleh mereka yang bersangkut paut, selagi itu keraguan tetap wujud.

“Bagi saya setuju dengan penubuhan suruhanjaya, itu perkara asas yang utama. Kalau ikut prosedur sekarang ini, yang menyiasat itu polis juga. Polis siasat polis, jadi perkara ini akan timbul pertikaian dan pandangan. Oleh itu secara asasnya apa yang penting ialah suruhanjaya itu yang patut diadakan lebih awal,” katanya.

Menegaskan suruhanjaya bebas pasti mempunyai pandangan tersendiri dalam kes seumpama ini, Taufek juga mengingatkan polis supaya mencari penyelesaian segera jika tidak mahu kepercayaan rakyat terus terhakis.

“Bagi saya yang penting sekarang ialah bagaimana polis hendak membuat suatu penambaikan atau pun perubahan dari segi pematuhan prosedur.

“Saya yakin kalau prosedur itu dipatuhi, dari segi penggunaan senjata api dan dari segi kalau orang itu lari, kalau ditahan dia lari, perkara seperti itu saya yakin rakyat juga perlu diberitahu apakah tindakan polis yang sewajarnya, apabila polis tahan kita, apa hak kita, apa yang mereka boleh buat dan setakat mana kuasa mereka,” katanya.
-tvselangor-

Tiada ulasan: